Benarkah kata orang dulu-dulu bahawa satu tahun umur manusia bersamaan dengan tujuh tahun umur kucing?
Secara umumnya, pengiraan ini adalah tidak tepat dan ia adalah mitos yang menjadi kepercayaan kebanyakan individu yang memelihara haiwan.

Mengapa kepercayaan ini wujud? Menurut Almanac, pengiraan “satu tahun bersamaan tujuh tahun” ini dibuat untuk menunjukkan bahawa haiwan peliharaan kita berumur lebih cepat daripada kita.
Walau bagaimanapun, secara teorinya kepercayaan mengenai umur kucing ini adalah tidak salah. Hal ini kerana mereka sememangnya akan menjadi matang lebih cepat daripada yang anda jangkakan.
Namun, persoalan di sini, bagaimanakah anda mengira umur kucing dengan tepat dan apakah nombor yang sebenarnya untuk disamakan dengan tahun manusia? Untuk mengetahui lebih lanjut, Tajria hari ini ingin berkongsi cara pengiraan umur kucing yang boleh anda praktikkan.

Berapa Umur Kucing Anda Dalam Umur Manusia?
Setakat ini, tiada cara saintifik yang boleh digunakan untuk mengira hubungan antara tahun manusia dan kucing.
Berdasarkan perkongsian Purina, ianya telah dipersetujui bahawa dua tahun pertama kehidupan kucing adalah kira-kira sama dengan 25 tahun pertama manusia. Selepas itu, anda perlu menambah empat ‘tahun kucing’ untuk setiap tahun manusia. Ini bermakna sekiranya kucing anda berumur enam tahun, ia bersamaan dengan 41 tahun umur manusia.
Umur Kucing | Umur Kucing Jika Disamakan Dengan Umur Manusia |
---|---|
1 tahun | 15 tahun |
2 | 24 |
3 | 28 |
4 | 32 |
5 | 36 |
6 | 40 |
7 | 44 |
8 | 48 |
9 | 52 |
10 | 56 |
11 | 60 |
12 | 64 |
13 | 68 |
14 | 72 |
15 | 76 |
16 | 80 |
17 | 84 |
18 | 88 |
19 | 92 |
20 | 96 |
21 | 100 |
22 | 104 |
23 | 108 |
24 | 112 |
25 | 116 |
Bukankah ia merupakan satu nombor yang besar untuk kucing? Dan biasanya kucing mempunyai jangka hayat hidup yang pendek iaitu sekitar 16 hingga 18 tahun untuk kucing rumah dan ada juga yang mencapai umur 20 tahun untuk kucing luar.
Menurut beberapa sumber, kucing tertua di dunia yang telah direkodkan pernah mencapai umur 38 tahun yang bersamaan dengan 168 tahun manusia.

Harus diingatkan juga bahawa jangka hayat kucing adalah berbeza-beza bergantung kepada baka, kerana sesetengah baka kucing secara semula jadi akan hidup lebih lama daripada yang lain. Sebagai contoh, baka Siam dan Manx dikatakan hidup paling lama, jadi mereka boleh mencapai umur matang dalam tahun manusia.
Selain melakukan kiraan, anda juga boleh mengenalpasti umur kucing dengan melakukan pemerhatian pada tubuh kucing seperti durasi ia tumbuh gigi, perbezaan biji mata atau iris antara kucing muda dan kucing yang lebih tua serta jisim otot yang mana untuk kucing tua, mereka akan kelihatan lebih kurus dan mempunyai tulang belikat yang menonjol.