Tidak dinafikan, terdapat banyak faktor yang menyebabkan individu memilih untuk menggunakan softener atau pelembut fabrik bagi setiap cucian pakaian
Salah satunya adalah disebabkan oleh kemahuan individu yang ingin memastikan pakaian dan linen yang dicuci berbau segar dan bebas kedutan. Malah, mereka juga beranggapan bahawa penggunaan pelembut ini sama penting dengan sabub pencuci (detergent) yang membantu untuk menghapuskan bakteria dan kotoran pada pakaian.
Namun, hakikat sebenarnya, tidak semua fabrik perlu dicuci menggunakan pelembut fabrik kerana ia berkemungkinan besar akan mempengaruhi tekstur fabrik dan menyebabkan kerosakan sekiranya digunakan terlalu kerap.
Untuk pengetahuan anda, pelembut fabrik befungsi sebagai alat yang membantu mengurangkan geseran antara gentian yang menghasilkan kurang lekatan statik dan membantu produk pakaian anda daripada haus dan lusuh. Di samping itu, ia juga menjadikan wangian pada pakaian lebih tahan lama jika dibandingkan dengan cucian yang tidak menggunakan.
Walau bagaimanapun, disebabkan sifat cecair tersebut yang mengandungi bahan kimia yang kuat, maka ia cenderung dalam menyebabkan iritasi dan kerengsaan pada kulit sekiranya tidak digunakan pada serat pakaian yang betul.
Untuk memastikan anda menggunakan pelembut fabrik pada tempat yang sepatutnya, Tajria hari ini akan berkongsi 5 jenis fabrik yang tidak sesuai dicuci menggunakan pelembut fabrik:
- Pakaian sukan – Fabrik akan kehilangan fungsi asalnya dan prestasi penyerapan peluh juga akan menurun.
- Tuala mandi – Pelembut fabrik boleh mengurangkan daya serap kain dan menjadikan tekstur menjadi tidak gebu.
- Tuala dapur mikrofiber: Poliester dan nilon mikrofiber sebenarnya terikat pada minyak dan sekiranya cucian anda diletakkan pelembut fabrik, ia boleh menjadikannya kehilangan daya serap dari semasa ke semasa.
- Pakaian kalis api – Untuk mengurangkan risiko pakaian daripada terbakar, rata-ratanya akan hadir dengan bahan kalis api. Namun, jika ia dengan pelembut fabrik, keberkesanannya akan berkurang dan tidak lagi mempunyai sifat kalis api dalam fabrik.
- Fabrik kalis air – Sama seperti pakaian tahan api, pelembut kain juga boleh mengubah gentian dalam fabrik kalis air yang mana ia akan memberi kesan kepada keupayaan kemasan untuk menghalang serapan air.
Sedikit tips untuk anda, pastikan anda kerap membersihkan mesin basuh anda selepas menggunakan pelembut fabrik dalam cucian. Ini bertujuan untuk mengurangkan sisa pelembut fabrik daripada melekat dan menjejaskan cucian yang seterusnya.