Carian
Bagaimana Cara Mengesan Masalah Ambliopia Atau Mata Malas Dalam Kalangan Kanak-Kanak?
August 12, 2022 Lina Rosli

Apa itu ambliopia? Lebih dikenali sebagai mata malas, ia merupakan penyakit yang mana individu mengalami penglihatan yang kabur dan tidak dapat dibetulkan dengan cermin mata, kanta lekap atau pembedahan mata. Secara luarannya, keadaan mata kelihatan normal dan tiada sebarang penyakit mata dikesan.

Menurut pakar, ambliopia boleh berlaku sejak lahir atau dari saat kanak-kanak mula menggunakan mata mereka. Ia berlaku kerana terdapat halangan penglihatan dan perkembangan abnormal pada laluan mata ke otak. Tambah Dr Fiona Chew Lee Min, Pakar Perunding Mata Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), masalah ini selalunya berlaku pada satu mata dan jarang sekali pada kedua-dua belah mata.

Bagi memastikan anak-anak tidak mengalami masalah ambliopia ini, ibu bapa disarankan untuk melakukan pemeriksaan awal dan mendapatkan diagnosis ambliopia kerana kebanyakan kanak-kanak tidak tahu untuk mengadu tentang simptom yang dialami dan menganggap bahawa apa yang dialami mereka adalah normal.

Apakah Simptom Yang Akan Dialami Kanak-Kanak Sekiranya Mereka Alami Ambliopia?

Petanda yang menunjukkan seorang kanak-kanak itu mungkin mengalami ambliopia termasuklah:

  • kesukaran untuk melihat objek yang jauh
  • pergerakan mata abnormal
  • mata kelihatan juling
  • postur kepala yang abnormal
  • kerap terjatuh atau terlanggar objek
  • mempunyai masalah penglihatan 3 dimensi ketika turun tangga atau menyelesaikan susun suai gambar
  • mengalami masalah tumbesaran yang lewat
  • sukar untuk menyertai aktiviti sukan atau kerja rumah

Terdapat juga kes yang mana ambliopia boleh diwarisi bagi penyakit yang boleh menyebabkannya seperti juling atau katarak. 

Bagaimana Untuk Melihat Tanda Ambliopia?

Petanda ambliopia yang ibu bapa perlu awasi adalah juling. Anda akan melihat sama ada kedudukan mata menghala ke dua arah yang berbeza atau tidak bergerak dalam koordinasi yang betul.

Mata juga mengalami kelainan refraksi (refractive errors) seperti rabun dekat, rabun jauh atau silau. Untuk keadaan yang lebih teruk, kelopak mata jatuh (droopy eyes) atau lebih dikenali sebagai ptosis dan alergik konjunktivitis yang boleh mengakibatkan kerosakan di kornea mata dan seterusnya menyebabkan ambliopia jika tidak dirawat dari awal

Jika di hospital, ambliopia boleh disahkan selepas pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan oleh pakar mata termasuk:

  • ujian ketajaman penglihatan
  • ujian refraksi
  • ujian ortoptik dan pemeriksaan juling
  • pemeriksaan keluasaan mata (dilated eye examination)

Namun jika hasil ujian tidak memberikan keputusan yang baik, pesakit mungkin perlu menjalani “penalisation treatment” atau terapi dikoptik.

Bagi penalisation treatment, rawatan ini akan mengaburkan penglihatan pada mata yang tidak bermasalah dan memaksa otak untuk menggunakan mata malas tersebut melalui penutup mata, ubat titis mata atau kanta mata khas.

Terapi dikoptik pula melibatkan latihan tertentu atau permainan digital untuk meningkatkan perkembangan mata ke otak.

Berapa Lama Sebelum Ambliopia Boleh Pulih?

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, pakar menekankan bahawa ambliopia boleh dipulihkan dengan rawatan yang dilakukan awal dan mengingatkan ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka untuk melakukan pemeriksaan mata setiap tahun.

Semakin muda seseorang kanak-kanak itu, semakin mudah otaknya menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan. Kanak-kanak disarankan untuk menjalani pemeriksaan mata ketika berusia 6 bulan, 3 tahun, semasa berumur 6 tahun dan seterusnya setiap dua tahun untuk mengenalpasti sebarang masalah mata.

Namun begitu, ambliopia akan menjadi semakin parah dan berkemungkinan untuk tidak dapat dipulihkan jika ianya tidak dirawat langsung. Kadang-kala penglihatan kanak-kanak akan menjadi teruk sehingga menyebabkannya menjadi buta.

Komen