Carian
Senaman Aerobik & Angkat Berat Selama 30-60 Minit Setiap Minggu Bantu Kurangkan Risiko Penyakit
August 15, 2022 Lina Rosli

Bangun dan bergerak setiap hari adalah penting kepada diri sendiri bukan sahaja untuk kebaikan semasa tetapi untuk kelebihan masa akan datang.

Bermain sukan, berjalan-jalan, dan beraktiviti merupakan elemen utama yang memberikan keajaiban untuk otak, badan dan kesihatan keseluruhan anda kerana dengan melakukankanya, ia dapat membantu anda mengembangkan kekuatan dan kestabilan tubuh selain turut melindungi diri daripada penyakit sekaligus menjalani kehidupan yang lebih lama dan lebih sihat.

Kajian sistemik yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine mendapati bahawa melakukan aktiviti menguatkan otot, seperti mengangkat berat dikaitkan dengan 10 hingga 17 peratus risiko lebih rendah kematian yang melibatkan pelbagai faktor termasuk penyakit kardiovaskular, kanser dan diabetes.

Apa yang dimaksudkan dengan aktiviti menguatkan otot? Bagi yang tidak mengetahui, berikut adalah antara aktiviti kekuatan otot yang boleh anda lakukan:

  • angkat berat
  • senaman aerobik
  • berenang
  • berjoging
  • berjalan kaki
  • berbasikal

Dan untuk mendapatkan impak yang optimum untuk kesihatan tubuh, individu disarankan untuk menggabungkan mana-mana aktiviti yang diinginkan sama ada senaman aerobik dan angkat berat, aktiviti berbasikal dan berenang atau mana-mana aktiviti lain selama 30 hingga 60 minit setiap minggu.

Walau bagaimanapun, data yang diperoleh penyelidik masih lagi terhad dan kajian lanjut diperlukan untuk memastikan bukti tertentu, dan memberikan preskripsi yang lebih jelas untuk berapa banyak dan jenis latihan kekuatan yang memberikan manfaat pengurangan risiko penyakit yang tepat.

Dengan perlaksanaan aktiviti ini, antara kelebihan yang diperoleh termasuklah membina kekuatan muskuloskeletal, terutamanya membina tisu otot tanpa lemak. Melaluinya, individu dapat meningkatkan keseimbangan keperluan tubuh di samping mengekalkan metabolisme yang sihat dan mencegah kecederaan serta penyakit.

Akhir sekali, harus diingatkan juga sekiranya anda tidak pernah mengangkat berat sebelum ini, pastikan anda sentiasa mula pada kadar yang minimun dan ringan kerana ia berfungsi untuk mengelakkan kecederaan dan membawa kepada komplikasi yang lebih buruk pada tubuh badan.

Komen