Khusus untuk penggemar rekaan pakaian daripada jenama Issey Miyake, nampaknya tidak lama lagi anda boleh mula berkunjung ke butik fizikal mereka yang bakal dibuka di The Gardens Mall, Kuala Lumpur

Ia merupakan cawangan pertama mereka di Malaysia yang mana sebelum ini, Issey Miyake hanya memfokuskan kepada penawaran di beberapa lokasi sekitar Jepun, London, New York, Zurich, Paris dan Milan.

Perkara yang paling dinanti-nantikan sewaktu pelancaran butik Issey Miyake di Malaysia ini adalah konsep dan juga susun atur yang akan dibawakan jenama ini. Hal ini kerana sebelum ini, bagi setiap butik Issey Miyake sama ada di Jepun mahupun London, ia masing-masing hadir dengan reka bentuk dan vibes yang berbeza sekaligus menjadikan setiap pengalaman adalah unik di pelbagai lokasi.

Sebagai contoh, untuk butik Issey Miyake di Kyoto, ia membawakan konsep “Machiya” iaitu rumah bandar tradisional Jepun yang mana untuk setiap ruangan di dalamnya direka oleh Naoto Fukasawa. Kedai ini juga menampilkan warna klasik “Sumi” yang menggabungkan rekaan tradisi dan inovasi.

Bagi yang tidak mengetahui, Issey Miyake merupakan sebuah jenama pakaian yang telah berkembang dengan pelbagai idea dan rekaan baharu yang inovatif. Namun, dalam pada masa yang sama mereka masih lagi mengekalkan gaya reka bentuk terasnya iaitu mencipta pakaian daripada bahan-bahan asli seperti fabrik yang dihasilkan daripada buluh dan rotan yang kelihatan seperti arca.