Apabila bercakap mengenai sushi, pasti ramai yang akan membayangkan nasi yang digumpal membentuk bentuk yang comel dan kemudiannya diletakkan hidangan mentah seperti salmon di atasnya dan banyak lagi.
Namun, tahukah anda bahawa sebenarnya terdapat bermacam-macam jenis dan kategori sushi yang ditawarkan di pasaran dan semuanya mempunyai nama yang berbeza? Sebagai contoh, terdapat perbezaan yang ketara antara maki dan juga gunkan yang mana salah satunya adalah hidangan yang menggunakan rumpai laut sebagai lapisan luar yang membaluti nasi.

Bagi membantu anda mengenali jenis-jenis sushi ini, Tajria ingin berkongsi kepada anda panduan yang boleh anda jadikan sebagai rujukan sebelum melakukan pesanan sushi di kedai makan.
Maki
Apabila anda membuka dan melihat menu, nama pertama yang akan anda baca adalah Maki. Namun, tahukah anda hidangan apa yang dirujuk sebagai ‘Maki‘?
Bagi anda yang tidak mengetahui, di dalam bahasa Jepun, Maki diterjemahkan sebagai ‘gulung’ yang mana ia akan menggunakan nori iaitu rumpai laut untuk membentuk gulungan pada bahagian luar. Selalunya, maki terdiri daripada inti yang seringkali menggunakan ikan dan sayur-sayuran di tengah, nasi, dan kemudian nori sebagai lapisan luar.

Uramaki
Sementara ‘Urumaki‘ pula, ia adalah gulungan pada bahagian dalam atau dalam bahasa mudahnya, inti dalam akan diletakkan dibahagian luar.
Untuk hidangan ini, ia biasanya akan meletakkan nasi pada bahagian luar dan rumpai laut pada bahagian dalam. Dari segi bahasa, ‘Ura’ bermaksud bahagian belakang sesuatu dan ianya dicipta untuk orang Amerika oleh tukang masak sushi Jepun kerana mereka tidak menggemari rasa rumpai laut hitam.

Nigiri
Seterusnya, ‘Nigiri‘ pula adalah jenis sushi tanpa rumpai laut. Ia menampilkan nasi yang dipadatkan sehingga kelihatan seperti bentuk bantal.
Kebanyakkan Nigiri akan dipadankan dengan hirisan ikan seperti salmon, unagi (belut) ataupun daging yang tidak mudah jatuh selain sesuai untuk diletakkan pada bahagian atas nasi. Menurut pakar, ia merupakan bentuk sushi yang paling tradisional dan jenis sushi yang biasa ditemui di Jepun.

Sashimi
Sekiranya anda ingin menikmati sushi tanpa nasi, ‘Sashimi‘ adalah hidangan sushi yang dihidangkan mentah tanpa disertakan dengan sebarang nasi.
Di restoran sushi di Jepun, orang biasanya makan sashimi dahulu sebagai pembuka selera, dan kemudian makan sushi dan juga udon sebagai sajian utama.

Gunkan
Kelihatan hampir sama seperti Nigiri, gunkan adalah dalam kategori yang sama cuma yang membezakannya adalah rumpai laut akan dililitkan pada sebiji bola nasi dan di atasnya akan diletakkan hidangan atau lauk yang tidak boleh dihidangkan sebagai nigiri.

Sebagai contoh, lauk seperti telur, kurita kecil, udang hancur, telur ikan salmon dan sayuran akan dihidangkan sebagai gunkan. Hal ini kerana, rumpai laut akan berfungsi sebagai dinding yang akan memegang lauk dengan baik dan memudahkannya untuk dimakan.
Temaki
Akhir sekali, ‘Temaki‘ ialah sushi berbentuk kon yang menggunakan rumpai laut sebagai pemegang inti. Ia akan menghidangkan nasi dan lauk di dalamnya. Tidak seperti rupanya yang cantik dan menarik, Temaki tidak mempunyai teknik khas untuk menyediakannya.
Apa yang perlu anda buat hanyalah menyediakan nasi, inti dan juga rumpai laut. Selepas itu, gulungkannya mengikut saiz yang anda inginkan.

Jadi, sudahkah anda dapat membezakan antara keenam-enam jenis sushi ini? Secara umumnya, kesemua jenis sushi ini mempunyai cara penyediaan yang berbeza yang mana ianya bergantung kepada bahan dan juga isi yang digunakan.
Dengan ini, ia tidak hanya menjadikan rupa sesebuah sushi lebih menarik tetapi juga memudahkan individu untuk menikmati setiap hidangan tanpa menjejaskan rasa yang ingin disampaikan.