Carian
#ManaSatu – Beg Yang Kompak Atau Beg Untuk Segalanya?
August 17, 2022 Lina Rosli

Adakah anda berfikir untuk melabur dan mendapatkan beg baharu untuk kegunaan harian? Namun, apakah jenis beg yang anda perlukan?

Beg Yang Kompak Atau Beg Untuk Segalanya?

Mana antara satu adalah pilihan anda; beg tangan yang kecil dan kompak ataupun beg tangan yang besar untuk mengisi segala keperluan anda?

Secara umumnya, tiada peraturan atau panduan khas dalam mendapatkan beg yang bersesuaian untuk kegunaan harian kerana setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk anda mendapatkan beg yang hadir dengan ciri penting yang boleh menampung semua keperluan anda:

Sebagai contoh:

  • Beg kecil serpeti clutch adalah jenis beg yang memfokuskan kepada individu yang gemar membawa hanya barang asas iaitu kad, gincu, telefon, kunci dan lain-lain.
  • Beg sederhana kecil pula adalah jenis beg yang hanya boleh menampung keperluan tambahan yang kecil dan tidak berat seperti dompet, kunci, telefon, produk kecantikan, cermin mata dan lain-lain.
  • Beg harian besar pula adalah beg tangan dengan bilangan ruang yang lebih banyak dan sesuai untuk menampung barang yang lebih besar seperti dompet, komputer riba, buku nota, buku, botol air, kardigan atau selendang, cermin mata ataupun beg peralatan mandian kecil.

Oleh itu, setelah memutuskan keperluan apa yang sering anda bawa dan perlukan, dari situ anda boleh membuat penilaian mengenai tabiat dan pengurusan diri anda pula untuk dijadikan sebagai matriks pertimbangan sebelum mendapatkan beg tangan baharu.

Beg Seharusnya Selesa Untuk Dibawa

Fikir akan apa yang anda sering bawa dan tentukan apa yang ingin anda bawa.

Ini adalah kunci utama untuk memastikan beg yang anda beli menepati keperluan anda. Ya, beg tangan, sama seperti pakaian yang mana ia mesti mempunyai tahap keselesaan yang membuatkan anda senang dan gembira sewaktu menggayakannya.

Jika anda seorang yang jarang sekali bertukar beg dan mempunyai barang yang banyak untuk dibawa apabila keluar, maka beg tangan yang besar dan mempunyai poket yang banyak adalah pilihan yang paling sesuai.

Mengapa pentingnya poket? Ini kerana poket atau ruang dalam beg sentiasa berguna untuk memastikan kesemua barang anda sentiasa tersusun dan mudah untuk dicari. Sekiranya beg besar anda tidak mempunyai poket yang mencukupi, gunakan kantung untuk memastikan segala-galanya dapat disimpan dengan baik di dalam beg.

Namun, jika anda merupakan orang yang kerap kali bertukar beg dan penggunaan beg adalah bergantung kepada gaya dan majlis yang dihadiri, maka, beg kompak atau beg kecil adalah idea yang baik. Hal ini kerana beg kecil dicipta untuk menampung jumlah barang yang sedikit. Sekiranya anda memasukkan barang yang berlebihan di dalamnya, ia bukan sahaja menyukarkan anda untuk mencari barang yang diperlukan tetapi juga akan mempengaruhi beratnya.

Ambil berat akan keadaan beg anda sepanjang penggunaan kerana lebih kerap anda melakukan perkara yang bertentangan dengan kemampuan beg, lebih cepat beg yang digunakan akan rosak.

Komen