Tanda lahir ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan tanda atau keadaan kulit yang mempunyai warna atau tekstur yang berbeza jika dibandingkan dengan kulit biasa. Ia biasanya hadir semasa lahir atau muncul tidak lama kemudian yang boleh disebabkan oleh dua faktor iaitu:
- Struktur sel yang tumbuh secara berlebihan pada kulit seperti pembesaran saluran darah yang yang menghasilkan tanda lahir vaskular atau haemangioma
- Pertumbuhan sel pigmen berlebihan yang menghasilkan naevi kongenital atau tahi lalat
Apa Itu Tanda Lahir Vaskular?
Tanda lahir vaskular atau turut dikenali sebagai tanda lahir merah adalah tanda kulit berwarna yang timbul sebelum atau sejurus selepas kelahiran. Tanda lahir merah disebabkan oleh pembesaran saluran darah yang biasanya tidak menyakitkan dan tidak berbahaya dan puncanya tidak diketahui.

Terdapat 3 jenis tanda lahir vaskular iaitu:
- Tompok salmon dan juga dikenali sebagai makula muncul pada 30 hingga 50 peratus pada bayi yang baru lahir. Tanda ini adalah saluran darah kecil (kapilari) yang boleh dilihat melalui kulit. Ia paling biasa dilihat di dahi, kelopak mata, bibir atas, antara kening, dan belakang leher dan tanda ini akan pudar apabila bayi membesar.
- Hemangioma strawberi yang mungkin muncul di mana-mana bahagian badan, tetapi paling kerap berlaku pada muka, kulit kepala, belakang atau dada. Ia terdiri daripada saluran darah yang kecil dan padat. Mereka mungkin tidak hadir semasa lahir dan boleh hilang selepas tempoh waktu tertentu. Anda juga boleh melihat sedikit perubahan warna atau kerutan pada kulit yang mungkin kekal di tapak hemangioma.
- Hemangioma cavernous adalah keadaan tanda lahir yang serupa dengan hemangioma strawberi tetapi terletak lebih dalam. Ia mungkin kelihatan sebagai jisim span merah-biru yang dipenuhi dengan darah. Sesetengah tanda ini hilang dengan sendirinya, biasanya apabila kanak-kanak menghampiri usia sekolah.

Apa Itu Tanda Lahir Berpigmen?
Tanda lahir berpigmen adalah tanda kulit yang terdapat semasa lahir dan cenderung mempunyai warna yang lebih gelap seperti coklat atau hitam hingga kebiruan, atau berwarna biru-kelabu.
Punca tanda lahir berpigmen masih lagi tidak diketahui. Walau bagaimanapun, jumlah dan lokasi melanin yang merupakan bahan yang menentukan warna kulit boleh menentukan warna tanda lahir berpigmen.
Sebagai contoh, tompok cafe-au-lait mungkin jenis tanda lahir biasa, tetapi kehadiran beberapa bintik cafe-au-lait yang lebih besar daripada suku mungkin berlaku disebabkan oleh neurofibromatosis iaitu gangguan genetik yang menyebabkan pertumbuhan sel abnormal tisu saraf.
Sementara, tahi lalat pula berlaku apabila sel-sel dalam kulit tumbuh dalam kelompok dan bukannya tersebar ke seluruh kulit. Sel-sel ini dipanggil melanosit, dan mereka membuat pigmen yang memberikan warna kulit semula jadi.

Untuk pengetahuan anda juga, tahi lalat berkemungkinan besar boleh menjadi lebih gelap selepas terdedah kepada matahari. Oleh itu, pastikan anda sentiasa menggunakan pelindung matahari dan elakkan daripada kulit terdedah secara langsung terhadap matahari.
Adakah Tanda Lahir Perlu Dirawat?
Bagi tanda lahir jenis vaskular seperti tompok salmon dan hemangioma strawberi, ia biasanya bersifat sementara dan tidak memerlukan rawatan. Anda boleh menyembunyikannya menerusi penggunaan kosmetik.
Namun, sekiranya anda ingin mengurangkan saiz hemangioma yang semakin besar sehingga boleh menghalang penglihatan atau struktur penting, dapatkan nasihat pakar sebelum menggunakan kortisol. Selain itu, tanda lahir vaskular juga mungkin boleh dirawat dengan beberapa kaedah termasuk:
- Cryotherapy (pembekuan)
- Pembedahan laser
- Pembuangan secara pembedahan
Dalam sesetengah kes, tanda lahir tidak perlu dirawat sehingga kanak-kanak mencapai usia sekolah. Walau bagaimanapun, ianya perlu dirawat lebih awal jika ia mengakibatkan gejala yang tidak diingini atau jika ia menjejaskan fungsi penting seperti penglihatan atau pernafasan.
Sumber: The Conversation, ClevelandClinic