Carian
Benarkah Dada Ayam Tergolong Dalam Kategori Makanan Tinggi Garam?
August 19, 2022 Lina Rosli

Untuk pengetahuan anda, garam dalam makanan boleh didapati dalam pelbagai bentuk termasuklah makanan yang melalui proses pengilangan yang sering menggunakan garam sebagai penambah rasa, tekstur, warna dan pengawetan. Dan makanan seperti inilah yang sering dikonsum orang ramai yang mana mereka tidak menyedari akan kesan jangka masa panjang ke atas kesihatan tubuh.

Antara makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi termasuklah filet ayam atau dada ayam yang sedia untuk dimasak. Tidak dinafikan, dada ayam sering diklasifikasikan sebagai makanan sihat. Namun, tahukah anda bahawa ia adalah penyumbang kepada peningkatan kadar garam di dalam darah?

Menurut FDA, salah satu punca paras natrium atau garam dalam badan kita tinggi adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang mempunyai garam tersembunyi di dalamnya.

Apabila anda mengambil natrium berlebihan badan anda mengekalkan cecair tambahan dan apabila cecair yang tidak diperlukan terkandung di dalam badan secara berlebihan, ia boleh menyebabkan pelbagai kesukaran seperti jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk memastikan aliran darah dapat disalurkan keseluruh tubuh.

Mengapa Dada Ayam Mengandungi Nilai Natrium Yang Tinggi?

Ayam secara semula jadi mempunyai kandungan garam yang rendah. Namun, apabila ditambah dengan bahan-bahan perasa dan pengawet yang banyak, ia akan menjejaskan nilai nutrien yang terkandung di dalam ayam terutama dada ayam.

Hal ini kerana, dada ayam merupakan kawasan otot yang padat dan membuatkannya lebih cepat kering jika tidak dimasak dengan segera. Jadinya, kebanyakan pengeluar hadir dengan kaedah yang mana mereka akan suntikan ke atas dada ayam mentah dengan larutan air masin bagi memastikan struktur otot lebih berair dan segar.

Perkara ini tidak begitu mendapat pendedahan umum, namun, kaedah suntikan ini telah banyak digunakan di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Amerika Syarikat.

Secara umum, dada ayam mentah boleh mengandungi sekurang-kurangnya 50 hingga 75 miligram natrium atau garam bagi setiap hidangan. Oleh itu, apabila ditambah dengan suntikan dan juga proses pengilangan, kuantiti garam akan meningkat sehingga boleh mencecah lebih 600 miligram setiap hidangan.

Jumlah garam tersebut sudah mengambil hampir satu pertiga daripada pengambilan harian maksimum 1500 miligram yang disyorkan untuk orang yang berisiko mendapat tekanan darah tinggi. Sekiranya pengambilan ini berlarutan, ia boleh memburukkan lagi tekanan darah tinggi sekaligus meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

Komen