Carian
Puisi syurgaloka atau dunialoka oleh amirhadi
August 25, 2022 Amirhadi

Untuk F

i

Tenang, tanganku mencapai helaian kertas yang tersisip rapi sajak patah hati dari tanganmu, Lukisan bulan dan awan yang menenggelamkannya jelas kelihatan. Kautahu? Kalau kau izinkan, marilah kita kembali menjadi sahabat, cukup sekadar itu. Dua tahun dahulu, impian telah kusisip kemas dan ketika itu, peristiwa datang janggal lalu menghinggap di alisku, lalu gugur sebagai rintik rindu, akhirnya hanya air mata yang keluar, menyamar menjadi kegembiraan paling abadi.

ii

“Awak, besar nanti awak nak jadi penulis ke?”

Tanyamu sewaktu purnama dalam kehidupanku tersorok di sakumu, dan matahari tersimpan di poketmu, akhirnya, hari-harimu cerah, dan hari-hariku gelap. Cuma orang lain menuduhku dan berkata buruk-buruk sahaja tentang aku kerana sikap malu dan tidak banyak cakapmu. Kautahu? Setiap malam aku meratah sunyi, meranapkan lampu di kamar, menjadi nokturna. Aku lupa untuk hitung jumlah waktu aku bersendiri & kalau kuingat akan kususun tubuhnya menjadi wajahmu. Dan hari ini, kaudatang dengan kata-kata di atas kertas.

iii.

FA,

Adakah kaumenemuiku di mana-mana? Di gedung, restoran, jalanan atau di mana-mana saja sebelum ini, tidak pernah aku dengar kaumenyambut salamku, juga suaraku yang lembut. Aku sering melipat-lipat kertas nota terakhirmu sebelum kita bergaduh menjadi mawar, dan aku menghidu, harum — sebiji seperti dirimu. Kautahu? Walaupun sudah dua tahun tanpa kata, suaramu setia menghinggap di jendela kamarku sebagai warna senja, yang kadang muncul & boleh hilang bila-bila masa sahaja yang disukainya.

iv.

Suaraku juga begitu, FA, Mari, kita tersenyum seperti dulu. Bahagia seperti sedih paling romantis.

v.

Di kamarku, syiling kamar adalah tempat kegemaranmu, tetapi, apabila aku membuka kelip beberapa kali, kauhilang tak terjejak. Nona, kau adalah perempuan tabah aku kira, kerana disetiap kata-kata buruk manusia, hari ini, kautetap juga berjumpa denganku untuk kita sama-sama berbincang mengapa harus tidak tamatkan sahaja perbalahan.

vi.

Aku menyorokkan bintang yang gugur di tangan kiri, lalu merangka buruj bercorak ucapan selamat malam untuk diberikan padamu, tetapi selalu saja tidak menjadi, sebenarnya aku yang menolak cintamu pada mulanya. Aku malu. Saat itu satu patah kata pun aku tidak tahu. Maaf ya, kerana terlewat mengabadikanmu dalam sajak.

vii.

FA, dunia kita adalah dunia pegasus juga, aku betul-betul ingin kita menaikinya bersama, namun, hubungan kita cukup sekadar sahabat, atau musuh jarak jauh, aku tidak pasti, tapi biarlah jadi sahabat ya?

VIII.

“Ini syurgaloka?”

“Belum, syurga tidak ada keperitan, ini dunialoka, yang penuh khayalan. Nona, aku mahu bersahabat sahaja seperti dulu, antara kita, angin menerbangkan tudungmu dan mengusutkan rambutku.”

Jawabku.

Aku hanya menyimpan perasaan yang terbuku selama ini dalam kolam mataku, cukup sekadar menipumu yang aku mahu bersahabat sahaja dan menatap wajahmu membuatkan aku cukup bahagia.

Komen