Jenama mewah Louis Vuitton dilihat telah melangkah satu lagi tapak ke hadapan dalam dunia fesyen dengan menampilkan item fesyen dengan elemen kontemporari menerusi pengenalan LV Paint Can Bag.
Menurut Louis Vuitton, beg LV Paint Can ini pertama kali diperkenalkan dalam pertunjukan landasan Men’s Fall/Winter 2022, ia merupakan sebuah acara fesyen dibawah kelolaan Virgil Abloh yang ingin menggabungkan konsep moden dan semasa pada setiap item di dalam koleksi.

Bercakap mengenai beg itu, LV dilihat mengetengahkan penggayaan realistik pada rekaan beg yang mana ia hadir dengan binaan seakan tin cat sebenar yang mempunyai pemegang logam. Namun, apa yang menjadikannya lebih unik adalah penggunaan logo LV krom bersama-sama dnegan bahagian atas cincin yang membolehkan bahagian atas dibuka pada engsel kulit.


Melengkapkan beg LV Paint Can adalah tali rantai krom yang mengambil nota reka bentuk daripada ciptaan rantai signature Abloh. Pada bahagian kulit beg pula, ia dikemaskan dengan butiran tipografi seperti “Handle With Care”, “2. Rue Du Pont Neuf, Paris” dan “Exterior Paint” yang menjadikan beg lebih realistik. Monogram LV turut disertakan bersama dengan perincian yang sama mengikut warna pada beg LV Paint Can.
Bagi yang berminat, beg Louis Vuitton Paint Can hadir dalam pilihan warna merah, kuning, hijau, jingga, biru dan ungu dan kesemua telah tiba secara rasmi di kedai atas-talian dan juga di kedai butik LV tempatan dengan harga sekitar RM12,400.