Carian
Tahukah Anda Mengapa Pembuat Roti Dahulu Tidak Suka Akan Mesin Pemotong Roti?
August 29, 2022 Lina Rosli

Roti buku hiris atau sliced bread merupakan salah satu jenis roti yang sangat popular dalam kalangan individu. Ia bukan sahaja boleh dimakan tanpa lauk ataupun sekadar dicicah dengan air, tetapi juga turut menjadi antara bahan penting dalam pembikinan hidangan seperti puding roti, piza, roti sardin dan sebagainya.

Bercakap mengenai roti buku hiris ini juga, tahukah anda bilakah ia pertama kali diperkenalkan dan bagaimana tercetusnya idea dalam penghasilannya?

Untuk pengetahuan anda, terdapat bukti bahawa manusia telahpun menikmati roti buku yang dibakar sejak ribuan tahun dahulu. Namun, pengenalan roti buku hiris dilihat mula wujud pada akhir 1920-an yang mana mesin roti yang digunakan untuk menghiris secara automatik terhasil pada tahun 1928 oleh Otto Rohwedder.

Idea Di Sebalik Mesin Pemotong Roti

Siapakah Otto Federick Rohwedder? Bagi yang tidak mengetahui, beliau merupakan seorang tukang emas yang tinggal di Chillicothe, Missouri. Idea asal beliau dalam menawarkan roti buku hiris adalah bagi mendapatkan keping roti yang sama berat dan saiz untuk diagihkan kepada rakan-rakan.

Secara umumnya, pada zaman dahulu, pembuat roti mempunyai proses pembuatan roti yang rumit selain mereka tidak dilengkapi dengan mesin yang bersesuaian untuk melakukan kemasan pada roti. Kebanyakkan mesin yang diperkenalkan terdahulu cenderung melakukan hirisan di kawasan terbuka dan menyebabkan roti terdedah kepada udaran yang akan memendekkan jangka hayat roti.

Oleh sebab itu, ketika Rohwedder memperkenalkan mesin pemotong roti, ia berjaya mendapat sambutan ramai terutamanya dalam kalangan pembuat roti. Hal ini kerana, potongan dan hirisan yang dilakukan menggunakan mesin pemotong Rohwedder kelihatan kemas dan tepat jika dibandingkan dengan roti yang dipotong menggunakan pisau tangan.

Bukan itu sahaja, mesin pemotong Rohwedder dilengkapi dengan dulang kadbod. Dengan ini, setelah mesin tersebut memotong kepingan roti, ia akan diletakkan di dalam dulang. Roti kemudiannya akan disusun dan diselaraskan bagi memudahkan mesin untuk membungkus roti menggunakan kertas lilin bagi menjamin kesegaran roti.

Pada tahun 1930, Wonder Bread telah menjual roti buku hiris yang pertama menggunakan mesin pemotong roti Rohwedder. Kira-kira lima tahun selepas itu, hampir 80% daripada pembuat roti menggunakan mesin beliau untuk menghiris roti sebelum mula dipasarkan kepada umum.

Komen