Tahukah Anda Bagaimana Air Minuman Diproses – Mengapa Air Minuman Perlu Mengandungi Fluorida?
Lina Rosli
Pernahkah anda tertanya-tanya akan proses penyediaan air yang perlu dilaksanakan oleh syarikat air sebelum ia mula diberikan kepada umum?
Secara umumnya, terdapat 7 langkah dalam proses penyediaan air minuman iaitu:
Langkah 1 – Pengudaraan
Proses air mentah bertindakbalas secara langsung dengan udara bagi mengoksidakan besi dan membebaskan gas-gas atau bahan meruap yang beracun seperti gas karbon dioksida dan juga hydrogen sulfida.
Proses ini berlaku di tangki pengudaraan (aerator) yang mana dengan adanya langkah pengudaraan yang betul, ia dapat memastikan air bersih masuk dan air kotor keluar dengan sebaiknya. Bukan itu sahaja untuk pengudaraan di dalam rumah boleh membina tahap lembapan, bau, gas, habuk dan bahan pencemar udara lain yang tinggi.

Langkah 2 – Penggentalan & Penggumpalan
Untuk proses ini, ia akan menggunakan bahan koagulan seperti ACH (Aluminium Chlorohydrate) yang akan dicampurkan ke dalam air mentah untuk menarik partikel-partikel cas negatif didalam air dan bercantum diantara satu sama lain.
Polimer kemudiannya didoskan untuk membesarkan lagi saiz flok yang terbentuk supaya proses pengasingan antara ketulan flok dan air berlaku. Proses ini berlaku di tangki flokulasi (flocculation tank)
Langkah 3 – Pemendapan
Proses untuk mengasingkan kandungan pepejal yang terbentuk dan masih terampai dipermukaan air dengan cara flok yang terhasil akan dimendapkan dan diasingkan dari air. Flok yang terhasil menjadi lebih tumpat dan lebih mudah mendap secara tarikan gravity atau semulajadi.
Bagi yang tidak mengetahui, flok adalah gumpalan lumpur yang dihasilkan dari proses koagulasi dan flokulasi. Dengan adanya proses pemendapan, proses ini dapat membuang dan mengasingkan flok yang telah terbentuk dari air dan untuk mendapatkan air yang jernih sebelum ditapis.
Terdapat dua jenis pemendapan iaitu pemendapan selari (Horizontal Flow Sedimentation) dan juga pemendapan aliran ke atas (Upflow Sedimentation) dimana ianya menggunakan lamella plate. Kebiasaanya bacaan kekeruhan untuk air pra-rawat ini tidak melebihi 5 NTU (< 5NTU)
Langkah 4 -Penapisan
Proses penapisan adalah proses dimana zarah-zarah dan juga baki pepejal yang masih lagi terampai ditapis disini.
Kebiasaanya sewaktu penapisan juga, pasir dan batu kerikil digunakan untuk menapis air yang telah selesai dimendap. Lapisan pasir ini sebenarnya perlu dicuci dengan kaedah “backwashing”sekiranya tempoh jangkahayat penggunaan melebihi 72 jam ataupun sudah mencapai tahap maksimun yang mana paling awal.
Proses ini memainkan peranan penting untuk menjaga kualiti air terawat mengikut standard KKM sebelum disimpan di tangki air bersih.
Langkah 5 – Pengklorinan
Proses pengklorinan ini dikenali sebagai proses pembasmian kuman dimana klorin didoskan pada kadar tertentu ke dalam air bertapis untuk membunuh bakteria berbahaya dan tidak memberi kesan keatas kesihatan.
Proses ini kebiasaanya berlaku di dalam tangki air simpanan sementara dimana tempoh tindakbalas (contact time) adalah lebih kurang setengah jam. Paras kandungan klorin yang dibenarkan didalam air minum adalah 0.2 – 5.0 mg/l.

Langkah 6 – Proses Disinfeksi dan Pembetulan pH
Proses disinfeksi merupakan satu proses yang memerlukan larutan kapur didoskan didalam tangki air bersih untuk meninggikan bacaan pH air yang telah siap dirawat.
Bacaan pH air terawat diselaraskan dengan menggunakan kapur agar paras kandungan di dalam air minum adalah tidak melebihi paras yang telah ditetapkan oleh KKM iaitu di antara 6.5 hingga 9.0. Air terawat yang dihasilkan akan disimpan sebelum diagihkan kepada pengguna melalui tangki pengagihan di loji menggunakan tekanan graviti.
Langkah 7 – Pemfluoridaan
Untuk pengetahuan anda juga, bahan kimia sodium silikofluoride juga didos dalam air bersih. Bahan kimia ini atau lebih dikenali sebagai fluorida didoskan di dalam tangki air bersih untuk membantu penjagaan gigi dan juga mencegah kaviti pada gigi kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, kandungan fluoride di dalam air perlu dipantau agar tidak melebihi paras yang telah ditetapkan oleh badan khas yang menjaga kualiti standard air di Malaysia iaitu sekitar 0.4 hingga 0.6 mg/l.

Mengapa fluorida perlu ada di dalam air minuman? Jawapannya adalah fluorida adalah mineral yang mencegah kerosakan gigi. Ia wujud secara semula jadi pada tahap yang berbeza-beza. Fluorida boleh ditambah ke dalam air untuk tujuan mencegah kerosakan gigi.
Ini kerana apabila air telah diproses dan dirawat, ia akan membuatkan air tersebut kehilangan mineral (demineralisasi) dan sekaligus akan memberi kesan kepada lapisan enamel gigi. Untuk sesetengah kes, kerosakkan gigi berlaku akibat serangan asid yang terhasil daripada tindakbalas bakteria dalam plak dengan gula dalam mulut.
Sumber: Jurnal UKM, Cochrane Org