Langkah Berhadapan Dengan Banjir Merangkumi Keselamatan Diri Dan Bekalan Ubat-Ubatan
Lina Rosli
Jika anda mengikuti perkembangan cuaca dan keadaan di selatan negara iaitu di Johor, baru-baru ini terdapat beberapa kawasan yang telah dilanda banjir sehingga telah memberi kesan kepada kebanyak keluarga di kawasan berkanaan.
Oleh yang demikian, terdapat beberapa perkara dan langkah praktikal yang perlu anda amalkan di sepanjang musim banjir ini.

Berikut adalah langkah berjaga-jaga dan persediaan yang perlu dipraktikkan individu sepanjang musim banjir pada tahun ini.
Sebelum banjir:
- Pantau persekitaran anda dengan teliti
- Dapatkan maklumat terkini tentang ramalan cuaca dan amaran.
- Simpan bekalan bencana termasuk ubat-ubatan jangka panjang dan peti pertolongan cemas dalam beg kalis air sekiranya berlaku pemindahan.
- Pesakit, terutamanya warga emas yang menghidap penyakit kronik, dinasihatkan untuk melawat farmasi terdekat mereka bersama-sama dengan ubat-ubatan kronik mereka untuk menyimpan rekod di farmasi dan sediakan senarai ubat yang terkini.
Pesakit yang telah kehilangan salinan preskripsi mereka dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan senarai ubat, anda dinasihatkan supaya menyimpan sejarah ubat di farmasi komuniti terdekat. Terutamanya bagi individu yang memerlukan ubat-ubatan kronik.

Selepas banjir:
Oleh kerana sanitasi dan kebersihan adalah di paras yang rendah ketika di kawasan banjir, ia boleh menjadi punca kepada penyakit bawaan banjir seperti Leptospirosis, Taun dan Denggi.
Khusus untuk mereka yang terselamat daripada banjir, anda harus memerhatikan simptom seperti demam, sakit kepala, cirit-birit, sakit otot, dan muntah untuk mengenal pasti kemungkinan jangkitan. Sekiranya terdapat simptom sedemikian, sila lawati pusat jagaan kesihatan berhampiran dengan segera.
Harus diingatkan bahawa keselamatan diri harus diutamakan sepanjang musim banjir ini. Pastikan anda tidak melakukan sebarang aktiviti berbahaya dan elakkan daripada berada di kawasan dengan arus air yang deras dan mempunyai longkang yang besar.