Pernahkah anda mengalami situasi yang mana kasut baru yang anda beli telah menyebabkan melecet atau luka pada kulit kaki? Jika ya, pastinya anda cenderung untuk mengalami keresahan sekiranya anda menggunakan kasut yang baharu atau jarang digunakan sewaktu keluar berjalan.

Untuk pengetahuan anda, kasut merupakan satu item yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Ia bukan sahaja digunakan untuk melindungi kaki dari paku, pasir, batu, kaca dan lain-lain anasir yang berbahaya bahkan turut dipakai bagi memberi keselesaan pada kaki lebih-lebih lagi untuk anda yang kerap berjalan jauh.

Oleh itu, apabila kasut anda tidak memberikan keselesaan seperti yang dijanjikan, kaki anda akan mula berasa tidak selesa dan sekaligus menyebabkan kulit kaki luka dan melecet.

Kebiasaannya, kaki melecet dan luka ini boleh berlaku apabila anda menggunakan kasut yang diperbuat daripada binaan yang keras untuk tempoh masa yang lama. Dan apabila geseran antara kaki dan bahagian kasut berlaku secara konsisten, ia sekaligus menyebabkan luka dan kulit kaki mula meradang.

Kepercayaan orang zaman dahulu, mereka akan menyarankan orang ramai untuk menggigit kasut terlebih dahulu sebelum mula menggayakannya. Namun, ia hanyalah mitos semata. Pastinya tiada fakta atau teori sains yang dapat membuktikan akan kesahihan mitos ini.

Tahukah anda selain daripada cara lama ini, terdapat beberapa lagi tips lain yang boleh anda praktikkan untuk mendapatkan hasil yang baik untuk kaki anda?

Kurangkan Geseran Antara Kasut Dan kaki

Biasanya, kawasan kaki yang sering melecet atau mudah terluka adalah tumit, bahagian sisi kaki dan juga bahagian atas jari kaki.

Jadi, untuk langkah awal, anda boleh meletakkan halangan atau menyalutnya dengan span atau kain bagi mengurangkan geseran. 

Sekiranya anda tidak pasti di mana lokasi atau kawasan yang bermasalah, berjalanlah di sekitar rumah anda dengan kasut baru untuk mengenalpasti bahagian yang tidak selesa.

Kekalkan Kelembapan Kaki Untuk Mengelakkan Melecet

Selain tu, untuk mengurangkan geseran, kelembapan adalah kunci utama untuk mengatasi masalah ini. Hal ini kerana, kulit kering mempunyai risiko geseran yang lebih tinggi jika dibandingan dengan kulit yang lembap dan terhidrat.

Anda boleh menyapu losyen pelembap di kaki dan gunakan petroleum jelly sebagai contoh vaseline di tempat paling teruk untuk mengurangkan geseran.

Regangkan Dan Longgarkan Kasut Untuk Keselesaan

Gunakan pembentuk kasut kayu atau plastik semalaman untuk meregangkan kasut yang keras atau sukar lentur.

Untuk meregangkannya, anda juga boleh menggunakan pengering rambut untuk menambah sedikit regangan dan membantu kasut sesuai dengan kaki anda. Durasi masa yang dicadangkan adalah sekitar 20 hingga 30 saat dan halakannya pada bahagian kasut yang ketat.

Pastikan anda hanya meletakkan tahap kepanasan pengering rambut pada suhu sederhana. Ini supaya ia tidak mengeringkan atau membakar kulit secara berlebihan. Sebaiknya gunakan perapi kulit atau pelembap pada kasut setelah anda menggunakan kaedah ini.

Selain itu, anda juga disarankan untuk memakai stokin tebal untuk melindungi seluruh bahagian kaki. pasangkan kasut dengan selesa.

Pilih Saiz Dan Model Kasut Yang Bersesuaian

Sekiranya anda membeli kasut baru untuk berjalan-jalan atau berlari, ia mungkin tidak mempunyai masalah yang ketara seperti penggunaan kasut kulit atau kasut tumit tinggi. Ini kerana kasut sukan mempunyai foam dan span yang lembut untuk melindungi kaki.

Namun, kasut kulit lelaki dan kasut tumit tinggi pula adalah sebaliknya. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan bentuk kasut yang sesuai supaya kaki anda tidak mudah bergeser dan tergelincir sepanjang menggunakan kasut. Sebagai contoh, sekiranya kaki anda jenis kembang pada bahagian jari, adalah lebih baik untuk anda mencari kasut dengan rekaan yang lebih besar pada bahagian hadapan.

Saiz kasut yang besar mungkin akan menyebabkan kaki anda bergerak dan geseran dengan lebih kerap. Jika berlaku sedemikian, anda boleh mengurangkan inci yang terlebih dengan memakai stokin yang lebih tebal.

Gunakan Gel Silikon Atau Pita Pelindung Kaki Pada Kasut

Kebanyakan jenama kasut kini mula hadir dengan gel silikon mereka yang tersendiri untuk membantu para penggunanya mengurangkan risiko kaki melecet. Ia diformulakan dengan bahan yang tidak berminyak dan tidak mengotorkan menjadikannya antara pilihan popular dalam kalangan individu.

Untuk menggunakannya, anda hanya perlu letakkannya pada bahagian kasut yang menyebabkan geseran. Melaluinya, gel silikon ini menawarkan perlindungan sepanjang masa dengan membentuk lapisan nipis pada kaki yang hampir bertindak seperti sepasang stokin yang tidak kelihatan.

Selain pilihan jenama, mereka turut ditawarkan di dalam pelbagai bentuk yang boleh disesuaikan mengikut bentuk kaki.

Bagi anda yang sering mengalami kaki melecet atau luka disebabkan kasut, anda mungkin boleh melakukan lima langkah di atas bagi menghindarinya. Atau anda juga mungkin anda teknik lain yang turut boleh dikongsikan bersama Tajria. Selamat mencuba!