Carian
Hotel Bajet Adalah Antara Pilihan Penginapan Yang Popular Dalam Kalangan Pelancong Berkumpulan
January 3, 2023 Lina Rosli

Baru-baru ini dalam tinjauan Agoda yang dilaksanakan melalui YouGov, ia menyatakan bahawa rata-rata pelancong di seluruh dunia yang berkeluarga atau merancang untuk bercuti secara berkumpulan, mereka cenderung untuk mencari pakej percutian yang memberikan lebih nilai kepada wang mereka dengan memilih penginapan bajet.

Hal ini kerana, pelancong berkeluarga lazimnya mempunyai keperluan yang lebih kompleks apabila memilih penginapan semasa percutian jika dibandingkan dengan pelancong solo. Mereka memerlukan ruang penginapan yang lebih luas, selain turut mencari tempat penginapan dengan kemudahan memasak.

Malah, ada juga yang turut berminat untuk menggunakan perkhidmatan tambahan lain seperti penjagaan anak, kelab kanak-kanak, katil tambahan atau bilik bersambung yang ditawarkan oleh hotel mesra keluarga.

Melihat lebih lanjut ke dalam laporan, ia menunjukkan tabiat pelancong daripada beberapa buah negara. Sebagai contoh, pelancong dari Filipina (59%), India (44%) dan Korea Selatan (38%) memberikan keutamaan yang tinggi untuk hotel mesra bajet, manakala mereka dari Indonesia (42%), Malaysia (39%) dan Taiwan (38%) lebih cenderung untuk memilih penginapan sewaan yang menawarkan kemudahan tambahan seperti dapur atau ruang tinggal dan tidur yang berasingan.

Ini berbeza dengan hampir separuh daripada pelancong Jepun (43%) yang mengutamakan rangkaian hotel sebagai penginapan pilihan mereka dan 34% pelancong Thai yang lebih cenderung untuk memilih kemudahan pusat peranginan yang menawarkan pakej yang lengkap.

Untuk pengetahuan anda juga, Tinjauan Trend Percutian Keluarga Agoda 2022 turut menunjukkan bahawa empat daripada lima orang pelancong lebih memilih untuk bercuti bersama keluarga terdekat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Walaupun melancong bersama rakan-rakan lebih popular berbanding dengan melancong bersama keluarga besar, namun data menunjukkan lebih separuh (52%) masih berminat untuk bercuti secara berkumpulan dengan saudara-mara mereka.

Oleh itu, dengan ketersediaan platform seperti Agoda yang menawarkan khidmat carian dan tempahan bagi penginapan, penerbangan, pengangkutan dan aktiviti yang menyeronokkan di destinasi percutian, ia bukan sahaja memudahkan urusan perancangan perjalanan para pelancong, tetapi juga memberikan mereka lebih banyak pilihan penginapan untuk mereka menikmati masa bersama orang tersayang.

Komen