Carian
Ikan Berwarna-Warni Ditemui Di Lautan Hindi – Diberi Nama ‘Finifenmaa’ Yang Bermaksud Bunga Ros
January 3, 2023 Lina Rosli

Pernahkah anda terfikir, berapa banyak jenis ikan telah wujud di hampir kesemua lautan di seluruh dunia? Bagi yang tidak mengetahui, dalam laporan yang dikeluarkan oleh A-Z Animals, terdapat lebih daripada 33,000 spesies ikan wujud di dunia. Dan apa yang menarik, jumlah ini berkemungkinan menjadi lebih besar dan lebih banyak lagi pada maka akan datang.

Hal ini kerana, setakat ini, manusia telah hanya menerokai kira-kira 20% lautan sahaja dan masih banyak lagi spesies ikan yang terdapat di 80% bahagian laut yang belum diterokai.

Baru-baru ini juga, di perairan Maldives iaitu di kepulauan kecil yang terletak 466 batu dari India, seekor ikan berwarna-warni telah ditemui. Ia dinamakan sempena nama bunga kebangsaan Maldives, Mawar iaitu Cirrhilabrus finifenmaa. Untuk makluman anda, ‘Finifenmaa‘ bermaksud ros dalam bahasa tempatan Maldives, Dhivehi.

Dari segi rupa luaran, ikan Cirrhilabrus finifenmaa atau nama biasanya rose-veiled fairy wrasse menampilkan warna yang versatile seperti warna merah-oren yang menarik pada mukanya dan kemudiannya beransur-ansur pudar kepada timbulan kuning dan ungu berhampiran ekornya.

Walaupun sebelum ini terdapat beratus-ratus spesies ikan yang wujud di perairan sekitar Maldives, ikan rose-veiled fairy wrasse ini adalah yang pertama dengan nama saintifik yang berasal dari bahasa Dhivehi tempatan.

Sebelum diperkenalkan secara rasmi oleh saintis tempatan di Institut Penyelidikan Marin Maldives, ramai dalam kalangan pihak yang tersalah anggap bahawa ikan itu merupakan ikan red velvet fairy wrasse (Cirrhilabrus rubrisquamis).

Sumber: Smithsonianmag // gambar Yi Kai Tea

Komen