Carian
Mengapa Muncul Tompok Kuning Pada Helaian Kertas Buku Lama?
January 9, 2023 Lina Rosli

Sekiranya anda penggemar dan pencinta buku, pernahkah anda melihat helaian kertas pada bahagian dalam dan kulit luar buku anda mula bertukar warna dan muncul tompokan kecil berwarna kuning?

Jika ya, tahukah anda apakah sebab atau faktor yang menyebabkan tompokan tersebut muncul pada permukaan buku anda?

Menurut perkongsian Chilkibo Publishing, kebanyakan buku sering bertukar warna dan muncul tompok kekuningan selari dengan peredaran masa adalah disebabkan oleh kandungan kimia yang ada pada kertas telah terdedah kepada udara dan kelembapan persekitaran. Bahan kimia yang dimaksudkan adalah lignin.

Apa itu lignin? Lignin adalah komponen atau bahan yang boleh dijumpai di dalam kayu. Sekiranya anda pernah menghidu bau buku baharu, tahukah anda bahawa ia terhasil disebabkan oleh penguraian lignin sewaktu diproses membentuk buku ketika di kilang? Ia kemudiannya menghasilkan bau vanila yang halus (faint) seperti yang anda hidu pada kebanyakan helaian kertas baharu.

Untuk pengetahuan anda, proses penghasilan buku ini merangkumi beberapa perkara penting. Ia termasuk campuran sebatian kimia seperti kertas, gam dan juga dakwat. Oleh kerana itu, kimia-kimia yang ada dalam setiap bahan ini akan mengeluarkan sebatian tertentu sehingga mencetuskan perubahan pada warna dan juga penambahan bau unik bagi setiap buku.

Hubungan Antara Kertas Dan Lignin

Secara umumnya, kertas diperbuat daripada kayu yang mana sebahagian besarnya adalah selulosa dan juga komponen kayu semula jadi iaitu lignin yang berfungsi dalam mengekalkan bentuk kayu sekaligus memberikan kekuatan pada binaannya.

Untuk pengetahuan anda, selulosa merupakan bahan kayu yang tidak berwarna atau colorless. Oleh sebab itu, apabila ia dipantulkan pada cahaya, ia menghasilkan warna putih yang sering dilihat pada kebanyakan kertas.

Walau bagaimanapun, apabila lignin terdedah kepada cahaya dan udara sekeliling, struktur molekulnya berubah. Lignin ialah polimer, bermakna ia dibina daripada kumpulan unit molekul yang sama dan kemudiannya diikat bersama secara konsisten dan membentuk alkohol yang terdiri daripada oksigen dan hidrogen.

Dari situ, molekul oksigen tambahan akan bertindak memecahkan ikatan yang memegang subunit alkohol tersebut sehingga mewujudkan kawasan molekul yang dipanggil kromofor.

Kromofor atau Chromophores bermaksud “pembawa warna” dalam bahasa Yunani. Ia mencerminkan panjang gelombang cahaya tertentu yang mata manysia anggap sebagai warna. Dalam kes pengoksidaan lignin, warna yang ada pada kertas bertukar menjadi kearah kuning atau coklat.

Perkara ini berlaku sama seperti kes epal atau buah-buahan lain selepas dipotong dan dihiris. Ia menjadi teroksida dan menjadikan warna epal lebih keperangan sekiranya ditinggal terbiar di kaunter dapur. Perkara ini berlaku disebabkan oksigen di udara memasuki tisu buah, dan enzim yang dipanggil polifenol oksidase (PPO) melakukan pengoksidaan polifenol (sebatian organik ringkas) dalam kulit epal

Sumber: Smithsomanian, Live Science

Komen