Carian
Apa Itu Mengelamun? Mengapa Individu Mengelamun?
January 10, 2023 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa saintis menganggarkan kebanyakan individu menghabiskan sehingga separuh daripada waktu berjaga dalam kehidupan seharian mereka memikirkan sesuatu selain daripada tugas yang sedang dijalankan?

Sebagai contoh, ketika individu sedang memandu, mereka berkemungkinan besar cenderung untuk mengelamun dan berfikir tentang perkara lain yang perlu dilaksanakan sesudah sampai di destinasi yang dituju. Atau dalam situasi lain, ramai individu turut kerap menghabiskan masa tanpa berbuat apa-apa ketika sedang mandi atau berada di dalam bilik air.

Mengapa Individu Mengelamun?

Secara umumnya, ramai dalam kalangan individu menggunakan lamunan sebagai cara untuk membebaskan dan melarikan diri dari kehidupan seharian mereka. Hal ini kerana, ia bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan kepada individu, tetapi juga membantu menyelesaikan masalah dan meningkatkan kreativiti.

Punca utama yang boleh mencetuskan lamunan ini biasanya berkaitan dengan kualiti tidur dan kelesuan. Dan apabila anda mendapat rehat yang secukupnya selain mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti makan mengikut jadual waktu makan, bersenam dan beriadah, ia sedikit sebanyak boleh mengatasi isu mengelamun ketika sedang berkerja di siang hari.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda mendapati kekerapan waktu mengalamun adalah melampau, anda disyorkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar. Ini kerana tabiat lamunan yang berlebihan boleh menjejaskan kehidupan dan menyukarkan aktiviti seharian anda dijalankan dengan lancar.

Dalam satu laporan CNN, penyelidik mendapati tabiat lamunan yang berlebihan adalah gangguan yang juga dikenali sebagai lamunan maladaptif. Ia berlaku pada orang yang mempunyai lamunan yang jelas dan difikirkan secara mendalam dan berterusan selama berjam-jam.

Sekiranya anda mengalami lamunan yang berlebihan, anda disarankan untuk membaca buku, menonton filem atau televisyen, atau bermain permainan video untuk jangka masa yang lama. Tindakan ini mungkin terasa kompulsif dan berlangsung selama beberapa jam setiap hari.

Adakah Mengelamun Memberi Impak Positif Atau Negatif Kepada Individu?

Tidak dinafikan, mengelamun merupakan kaedah cepat untuk lari daripada realiti. Namun, ia tidak bermakna mengelamun itu memberikan perkara yang negatif semata-mata.

Berfikir tentang sesuatu atau mengelamun biasanya mempunyai konotasi negatif, tetapi ia boleh berguna apabila anda perlu mendorong kreativiti atau mengambil masa beberapa minit untuk berehat. Bergantung pada cara anda menggunakan masa mengelamun anda, ini boleh menjadi sama ada cara positif atau negatif untuk menghabiskan sebahagian masa lapang anda.

Sumber: The Conversation, Everyday Health

Komen