Penyakit Tanpa Simptom Fibroid Dan Cyst – Apa Yang Perlu Wanita Tahu?

January 10, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Secara umumnya, fibroid dan cyst merupakan jenis penyakit tanpa simptom yang sering dialami oleh kebanyakan wanita. Hal ini kerana fibroid dan cyst selalunya tidak bergejala dan hanya dapat dikesan ketika pesakit menjalani pemeriksaan imbasan ultrasound abdomen dan pelvis sahaja.

Oleh sebab itu, mengetahui keadaan badan dan tahap kesihatan masing-masing adalah penting supaya anda peka dengan diri sekaligus membantu individu untuk menjadi lebih sihat.

Apakah kekerapan kedua penyakit ini dan bolehkah pesakit mendapat fibroid dan cyst pada masa yang sama?

Dr Wong Yen Shi, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan daripada SMCV berkongsi bahawa fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang bermula daripada otot rahim dan sering terjadi kepada wanita semasa mereka berada di fasa reproduktif.

Manakala bagi sista ovari atau ovarian cysts, ia adalah kantung yang kebanyakannya mengandungi cecair, kadangkala tisu atau darah yang tumbuh di dalam ovari atau di permukaannya. Tidak seperti fibroid yang merupakan ketumbahan bukan kanser, cyst berkemungkinan besar boleh menjadi sama ada beningna (tumor bukan kanser) atau malignan (tumor jenis kanser).

Berdasarkan data, ketumbuhan ovari (cyst) ini lebih banyak berlaku kepada wanita berusia 60 ke 65 tahun. Namun begitu, Dr Wong memberi jaminan bahawa kebanyakan cyst adalah jenis beningna. yang mana ia akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan manakala cyst tidak berbahaya seperti follicular cyst atau corpus luteal akan membesar dan hilang bersama kitaran haid seseorang wanita.

Menjawab kepada soalan bolehkah seseorang wanita boleh menghidapi fibroid dan cyst pada masa yang sama? Jawapannya bergantung kepada keadaan individu. Ia tidak mustahil berlaku dan memandangkan keadaan pesakit adalah berbeza-beza, cara merawat dan memantau penyakit ini bergantung kepada saiz dan simptom yang dialami pesakit. 

Apa yang menyebabkan penyakit ini berlaku dan apakah simptom untuk dikenal pasti?

Setakat ini, tiada kajian kukuh yang menyokong mengapa fibroid boleh berlaku ke atas pesakit. Namun, faktor yang telah dikenalpasti menjadi punca kepada penyakit ini adalah:

  • Hormon
  • Genetik
  • Faktor pertumbuhan yang boleh menggalakkan dan menghalang mitosis atau menjejaskan perbezaan selular

Untuk kedua-dua fibroid dan cyst, ia boleh berlaku secara semula jadi. Kehamilan, jangkitan pada pelvis, endometriosis dan sejarah kesihatan mengalami cyst ovari juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat cyst ovari.

Fibroid dan cyst juga mungkin menunjukkan simptom yang sama. Contohnya:

  • Haid yang tidak teratur atau menyakitkan
  • Kerap membuang air kecil atau sembelit
  • Kembung perut
  • Sakit belakang
  • Pertambahan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
  • Persetubuhan yang menyakitkan

Untuk pengetahuan para wanita juga, fibroid juga berkemungkinan besar boleh menyebabkan anda mengalami pendarahan haid yang banyak jika dibandingkan dengan cyst. Dalam kes ketumbuhan ovari, rasa cepat kenyang ketika makan, hilang berat badan dan selera makan adalah antara simptom yang pesakit boleh perhatikan.

Bolehkah fibroid dan cyst memberi kesan terhadap kesuburan?

Menurut Dr Farah Leong Rahman, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan di Sunway Velocity Medical Centre, kebanyakan wanita yang menghidapi fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil. Namun, bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid tersebut, ia mungkin memberi kesan kepada tahap kesuburan pesakit. 

Hal ini kerana, sekiranya ia tumbuh di bahagian dinding rahim, ia boleh menyebabkan tiub fallopio tersumbat atau menyebabkan persekitarannya menjadi tidak kondusif untuk implantasi embrio.

Adakah fibroid atau cyst akan memberi kesan kepada perkembangan bayi atau kesihatan ibu?

Kebimbingan terbesar apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal. Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk di mana fibroid akan melebihi bekalan darah pesakit. Malah, jika fibroid bersaiz besar, ia juga boleh menyebabkan kedudukan bayi berada pada posisi yang salah.

Manakala bagi cyst ketika kehamilan, ia selalunya tidak akan memberikan mudarat kecuali jika cyst itu cukup besar dan menyebabkan koyakan.

Bagaimana untuk merawat fibroid dan cyst?

Menurut Dr Farah lagi, rawatan individu atau ‘personalized treatment’ adalah kunci utama untuk merawat fibroid dan cyst.

Cyst bersaiz kecil selalunya tidak memerlukan rawatan dan pertumbuhannya akan dipantau, manakala cyst bersaiz besar akan memerlukan pembedahan secara laparoskopi atau secara terbuka (open surgery).

Pembedahan masih kekal sebagai solusi bagi rawatan fibroid. Apabila kesuburan menjadi kebimbangan, miomektomi (pembuangan fibroid) boleh dilakukan melalui pembedahan terbuka, laparoskopi atau melalui miomektomi histeroskopik bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid.

Bagi wanita yang tidak mahu menambah cahaya mata atau dalam fasa selepas menopaus, histerektomi (pembuangan rahim) akan dipertimbangkan.

Uterine arteri embolisasi dan kemajuan baharu dalam teknologi seperti pembedahan High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) adalah antara alternatif lain tetapi rawatan-rawatan ini masih belum tersedia secara meluas di kebanyakan hospital.

Bagi pesakit yang tidak memerlukan pembedahan, mereka akan diberikan rawatan perubatan untuk melegakan simptom seperti pendarahan haid yang banyak serta haid yang menyakitkan. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd