Dinding merupakan bahagian yang penting untuk rumah anda. Oleh itu, kebanyakan individu akan memastikan kualiti cat yang digunakan pada dinding adalah yang terbaik.
Untuk pengetahuan anda, selain memberikan penampilan dan tarikan yang menarik pada dinding, cat berperanan dalam memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada dinding.
Sebagai contoh, dengan adanya lapisat cat, ia membantu memastikan rumah anda selamat daripada kerosakan cuaca, serangga dan habuk. Sekiranya digunakan pada perabot pula, cat dilihat membantu menghalang kayu luaran daripada reput.

Walau bagaimanapun, sebelum anda mula mengecat, terdapat beberapa perkara penting yang perlu anda tahu bagi memastikan hasil dinding anda lebih memuaskan dan juga berkualiti.
Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Mula Mengecat?
- Kosongkan kawasan persekitaran dinding. Anda boleh mengalihkan mana-mana perabot yang berdekatan bagi membantu menyediakan ruang kerja yang luas.
- Lap dan bersihkan dinding anda dengan air campuran sabun. Rata-rata individu cenderung untuk melangkau langkah ini. Namun hakikatnya ia penting bagi memastikan permukaan dinding lebih bersih dan mengurangkan risiko kerja cat menjadi rosak.
- Gunakan pita pelekat jenis kertas untuk dijadikan sebagai ‘mask’ pada bahagian bucu atau kawasan soket. Ini bagi mengelakkan anda daripada mengecat dan merosakkan bahagian selain daripada dinding.

Sedikit tips, ketika anda hendak mula mengecat, pastikan anda mencelupkan keseluruhan permukaan berus jenis penggelek (paint roller) dengan cecair cat. Ia bertujuan untuk memastikan consistency atau ketekalan warna sewaktu mengecat.
Sekiranya anda menggunakan berus pula, celupkannya ke dalam cat kira-kira separuh panjang bulu. Kemudian, lap berus di sisi bekas cat untuk mengeluarkan lebihan. Semasa anda menggerakkan berus, ia akan membentuk garisan tepi cat. Seret berus ke tepi supaya garisan pada cat mengikut tepi.
Apabila sudah bersedia, anda boleh mula mengecat dengan memilih bahagian paling tepi dinding sebagai garisan permulaan cat.