Pernahkah anda berasa sakit pada bahagian tubuh sekitar tengkuk ataupun pinggang? Jika ya, tahukah anda apakah punca yang menyebabkan perkara itu berlaku?
Untuk pengetahuan anda, salah satu punca keradangan tengkuk dan pinggang termasuklah tabiat duduk yang terlalu lama. Ini kerana apabila anda duduk seluruh tubuh cenderung untuk statik dan tidak bergerak untuk tempoh yang lama.
Jadinya, apa yang perlu anda buat adalah dengan memastikan anda duduk pada kedudukan badan yang selesa di mana tidak ada bahagian badan yang bengkok atau tidak tegak. Pastikan anda bergerak secara berkala untuk melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
Ada kajian melalui jurnal American College of Sports Medicine mencadangkan kepada individu untuk berjalan kaki selama lima minit untuk setiap tempoh setengah jam. Menurut pakar, pergerakan ini boleh membantu mengurangkan beberapa peningkatan risiko yang datang dengan duduk untuk tempoh yang lama sepanjang hari.
Bukan itu sahaja, pakar turut menyatakan bahawa duduk terlalu lama juga boleh mencetuskan dan meningkatkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan jenis kanser tertentu. Mengapa sedemikian?
Mengapa Duduk Terlalu Lama Boleh Meningkatkan Risiko Penyakit Kronik?
Sebagai perbandingan, sama seperti kepentingan pengambilan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran kepada individu, pergerakan juga adalah penting bagi memastikan pengaliran darah lebih lancar dan keperluan tubuh dapat dipenuhi.
Dalam kajian lain, para penyelidik telah hadir dengan teori yang mengaitkan hubungan antara pergerakan yang tidak aktif dengan berat badan berlebihan dan obes. Ia menyatakan bahawa duduk dalam jangka masa yang lama dianggap boleh:
- melambatkan metabolisme
- menjejaskan keupayaan tubuh untuk mengawal gula dan tekanan darah
- memecahkan lemak badan.
Apabila bercakap mengenai gula dalam darah pula, ia diproses ketika otot berkerja. Disebabkan itu, kesan duduk terlalu lama, otot anda tidak berpeluang untuk mengecut dan beroperasi secara optimum dalam kehidupan seharian.