Carian
Mengapa Kuku Tangan Lebih Cepat Tumbuh Berbanding Kuku Kaki?
January 16, 2023 Lina Rosli

Jika anda perasan, sela masa untuk kuku tangan anda tumbuh dan panjang semula adalah lebih pantas dan cepat jika dibandingkan dengan kuku kaki? Ini sekaligus menyebabkan anda perlu memotong kuku tangan lebih kerap, tidak seperti kuku kaki yang mungkin sekitar satu atau dua kali seminggu.

Mengapa ia berlaku sedemikian? Menurut perkongsian pakar, faktor utama yang menyebabkan kuku tangan panjang dan tumbuh lebih pantas adalah disebabkan oleh suhu atau haba.

Dalam kebanyakan kes, kuku tangan adalah sangat mudah terdedah kepada suhu dan cahaya. Manakala, untuk kaki, anda mungkin akan menyorokkannya sama ada menggunakan stokin ataupun kasut ketika berada di luar.

Menyokong kepada kajian di atas, antara faktor yang menyebabkan kuku kaki tumbuh lebih perlahan adalah disebabkan oleh trauma terminal. Ia pada dasarnya adalah satu perkara atau acara yang dialami kuku sehingga menyebabkan kadar kelajuan pertumbuhan terganggu. Sebagai contoh, jari kelingking kaki sering terdedah kepada isu seperti ruang kasut yang sempit atau bahaya seperti tersepit mempunyai kecenderungan untuk tumbuh lebih perlahan.

Di dalam laporan Healthline pula, pakar menyatakan bahawa tabiat menggigit kuku boleh menjadi punca kepada peningkatan kadar pertumbuhan kuku. Tidak seperti aktiviti memotong kuku biasa, menggigit kuku secara teorinya telah memanipulasi kondisi fizikal kuku sekaligus merangsang plat pertumbuhan setiap jari untuk menjadi lebih aktif secara metabolik dan akhirnya membawa kepada pembentukan kuku yang lebih cepat.

Tahukah Anda Bahawa Kuku Kaki Tumbuh Sekitar 1.6mm Sebulan?

Untuk pengetahuan anda, kuku kaki tumbuh pada kadar purata 1.62 mm sebulan. Sementara kuku tangan pula tumbuh pada kadar 2 kali ganda kuku kaki iaitu sekitar 3.7mm.

Dan jika anda kehilangan kuku kaki, ia akan mengambil masa sehingga 18 bulan untuk kembali tumbuh sepenuhnya. Bagi kuku tangan pula, ia mengambil masa yang lebih pendek iaitu 6 bulan sahaja.

Sumber: Healthfully, Healthline

Komen