Dengan peningkatan ujian saringan pranatal di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat, bilangan bayi yang dilahirkan dengan sindrom Down atau ‘Down Syndrome‘ telah menurun dengan ketara bagi beberapa negara maju termasuk Iceland.

Menurut perkongsian dari twitter MyHealth, ia dijangkakan bahawa Down Syndrome bakal lenyap dari negara Iceland dalam tempoh kurang 20 tahun lagi selain beberapa negara maju ini bakal mencapai tahap “Down’s Syndrome-free”menjelang tahun 2030.

Memandangkan ujian saringan pranatal diperkenalkan di Iceland pada awal 2000-an, sebahagian besar wanita iaitu sekitar hampir 100 peratus yang menerima ujian positif untuk sindrom Down akan menggugurkan kandungan mereka. Dan berdasarkan trend kelahiran terkini, ia memperlihatkan jumlah sifar untuk kelahiran bayi Down Syndrome di Iceland sejak 5 tahun lalu.

Manakala untuk negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, kadar penguguran bayi Down Syndrome pula kini telah mencecah 67%, manakala Perancis 77%, dan Denmark 98%.

Apa Itu Down Syndrome?

Secara umumnya, Down Syndrom ialah penyakit keturunan yang berpunca dari kehadiran kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seorang kanak-kanak. Dengan ini, individu yang mempunyai isu Down Syndrome ini akan mempunyai tiga salinan kromosom 21 yang biasanya hanya ada dua salinan dalam setiap satu sel.

Antara ciri-ciri fizikal bagi kanak-kanak Down Syndrome adalah:

  • Tubuh yang pendek.
  • Kepala bersaiz kecil.
  • Raut wajah yang rata dengan kedudukan mata sedikit ke atas.
  • Lidah terjelir.
  • Satu garis lurus di tapak tangan, tangan yang besar, jari tangan yang pendek dan jurang yang besar di antara ibu jari dengan jari kedua kaki.
  • Pertumbuhan yang lambat.
  • Kecacatan mental yang ringan atau sederhana.

Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak-kanak yang terlibat lahir dengan ciri-ciri fizikal dan boleh juga mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengannya seperti:

  • Pertumbuhan yang terganggu dari segi tumbesaran tubuh, kesukaran untuk belajar dan bertutur.
  • Penyakit jantung kongenital.
  • Kecacatan pertumbuhan perut.
    • Intestinal atresia.
    • Tiada dubur – Biasanya kecacatan ini dapat dikesan selepas lahir dan perlu dibedah. Walaupun jarang berlaku, tetapi kadar kejadian ini tinggi berbanding dengan kanak-kanak biasa.
  • Mudah mendapat jangkitan.
  • Masalah pendengaran dan penglihatan.
  • Gangguan fungsi Tiroid.
    • Hipotiroid – Pengeluaran hormon yang rendah dan perlu mendapatkan rawatan penambahan hormon seperti tiroxin.
    • Hipertiroid – Pengeluaran hormon yang berlebihan dan memerlukan rawatan bagi mengawal pengeluaran hormon.
  • Barah (kanser) seperti leukemia akut.

Down Syndrome Di Malaysia

Di Malaysia, ujian saringan pranatal turut dijalankan. Walau bagaimanapun, undang undang sedia ada di Malaysia kekal melarang prosedur penguguran bayi yang telah disahkan mengalami kecacatan seperti Down Syndrome.

Namun, ia masih tertakluk kepada beberapa keadaan kes sekiranya kehamilan itu boleh mengancam kesihatan ibu tersebut.

Untuk pengetahuan anda, kira-kira 1 daripada 800 individu yang dilahirkan dengan penyakit Down Syndrome. Dan dengan sokongan dari segi teknologi, purata usia individu Down Syndrome kini juga telah mencecah sekitar 60 hingga 70 tahun, sama seperti individu biasa.

Jadinya, adalah penting untuk semua pihak memainkan peranan dalam menjaga kesejahteraan individu dengan penyakit Down Syndrome sama ada merangkumi sokongan dan bantuan kepada keluarga dan individu Down Syndome ini. Mereka tidak perlu didiskriminasi tetapi perlu difahami akan keperluan yang diperlukan.

Sumber: Myhealth CBS News