Walaupun tidak semua individu mengalami mimpi sewaktu tidur, namun ia bukanlah satu perkara yang aneh. Mimpi boleh dialami oleh sesiapa sahaja, tidak kira lelaki atau perempuan, muda atau tua.
Mimpi merupakan sebahagian daripada tidur yang mana ia boleh berlaku di mana-mana peringkat tidur, lebih-lebih lagi semasa fasa REM.
Apa itu REM? REM atau rapid eye movement dikenali sebagai peringkat mimpi yang mana sewaktu fasa ini, mata akan bergerak dengan laju. Ia akan bergerak dari sisi ke tepi selain gelombang otak lebih aktif berbanding di Tahap 2 dan 3 tidur.

Kebiasaannya, seseorang boleh bermimpi sekitar 4 hingga 6 kali setiap malam. Terdapat kajian mendapati bahawa semua orang akan mengalami mimpi sebenarnya, sama ada mereka mengingati mimpi mereka atau tidak. Lebih-lebih lagi jika terbangun semasa tidur di fasa REM yang mana ia adalah lebih mudah untuk seseorang mengingati mimpi mereka.
Apa Itu Mimpi?
Mimpi ialah imej, fikiran atau perasaan yang berlaku semasa tidur. Imej visual adalah yang paling biasa yang dialami oleh individu. Apa yang menarik, sesetengah orang bermimpi dalam warna manakala yang lain bermimpi dalam hitam dan putih. Malah, untuk orang buta pula, mereka cenderung mempunyai lebih banyak komponen mimpi yang melibatkan bunyi, rasa, dan bau
Kajian telah mendedahkan bahawa terdapat pelbagai jenis kandungan mimpi dan antara ciri-ciri utama mimpi adalah:
- Mimpi berlaku melibatkan perspektif orang pertama.
- Mimpi berlaku secara sukarela.
- Kandungannya mungkin tidak logik atau tidak koheren.
- Kandungan termasuk orang lain yang berinteraksi dengan pemimpi dan satu sama lain.
- Mimpi boleh menimbulkan emosi yang kuat.
- Pemimpi boleh memasukkan memori kehidupan ke dalam kandungan.
Walaupun ciri-ciri ini tidak universal, namun ia sering ditemui sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dalam kebanyakan mimpi biasa.

Mengapa Kita Bermimpi?
Perdebatan berterusan telah berlaku dalam kalangan pakar tidur tentang mengapa kita bermimpi. Mereka mendapati antara sebab mengapa individu bermimpi adalah berpunca dari:
- Membina memori: Bermimpi telah dikaitkan dengan penyatuan memori, yang menunjukkan bahawa bermimpi boleh berfungsi sebagai fungsi kognitif penting untuk menguatkan ingatan termasuk tentang memori maklumat.
- Memproses emosi: Keupayaan untuk melibatkan diri dan melatih perasaan dalam konteks yang dibayangkan dalam sudut berbeza. Ia mungkin merupakan sebahagian daripada kaedah otak untuk menguruskan emosi.
- Pengemasan mental: Tempoh bermimpi boleh menjadi cara otak untuk menguruskan, membersihkan maklumat yang tidak lengkap, salah atau tidak perlu.
- Mengimbas ingatan atau memori: Kandungan mimpi mungkin merupakan satu bentuk mengimbas memori atau mengingat semula di mana peristiwa terbaru telah disemak dan dianalisis.
- Aktiviti otak yang tidak disengajakan: Pandangan ini berpendapat bahawa bermimpi hanyalah hasil sampingan daripada tidur yang tidak mempunyai tujuan atau makna penting.
Pakar dalam bidang neurosains dan psikologi terus menjalankan eksperimen untuk mengetahui apa yang berlaku di dalam otak semasa tidur, tetapi walaupun dengan penyelidikan berterusan, mungkin mustahil untuk membuktikan secara konklusif sebarang teori mengapa kita bermimpi.
Sumber: Sleep Foundation