Bagi anda yang sedang menunggu-nunggu kehadiran peranti mercu dari Samsung pada tahun ini, nampaknya penantian anda sudah berakhir kerana pada acara Galaxy Unpacked 2023 jenama ini telah memperkenalkan barisan peranti baharu iaitu Samsung Galaxy S23, Samsung Galaxy S23+ dan juga Samsung Galaxy S23 Ultra.

Kemaskini baharu yang dipersembahkan kali ini dilihat merangkumi pengenalan sensor kamera lebih besar, rekaan peranti yang lebih moden, peningkatan janaan kuasa dan juga kehadiran mod rakaman gambar serba baharu yang menjadikan peranti Samsung antara pesaing utama dalam arena teknologi.

Sudahkah anda mengetahuinya? Jika belum, mari kita lihat tawaran menarik yang dikongsikan Samsung tahun ini.

Samsung Memperkenalkan Cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy

Salah satu tarikan utama yang ada pada Samsung Galaxy S23 adalah penawaran cip berkuasa daripada Qualcomm iaitu cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy. 

Menggunakan cip ini, nampaknya Samsung Galaxy S23 menawarkan kepada pengguna kelancaran operasi peranti pada tahap yang maksima. Anda tidak perlu risau akan masalah prestasi sepanjang penggunaan lebih-lebih lagi sewaktu anda menggunakan media sosial, merakam gambar, membalas mesej dan banyak lagi. Ia juga dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM, dan storan sehingga 1TB di Malaysia.

Sensor Kamera Lebih Besar – Kini Sebesar 200-Megapixel

Sudah menjadi satu kemestian bagi kebanyakan peranti mudah alih untuk menyertakan barisan kamera yang berkemampuan tinggi.

Oleh sebab itu, anda pasti tidak akan kecewa dengan penawaran kamera yang ditampilkan Samsung Galaxy S23 yang mana membawakan kamera utama 50+12+10-megapixel dan juga kamera swafoto 12-megapixel.

Manakala untuk model Galaxy S23 Ultra pula, ia membawakan kuad-kamera dengan sensor utama 200-megapixel yang menyokong resolusi ultra tinggi untuk rakaman gambar. Dengan pengenalan sensor yang lebih besar ini juga, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan pendedahan cahaya yang berlebihan selain turut meningkatkan pembiakan warna, terutamanya dalam keadaan cahaya terang ketika melakukan rakaman gambar menggunakan Samsung Galaxy S23 Ultra.

Walau bagaimanapun, untuk kamewa swafoto bagi peranti Samsung Galaxy S23 Ultra, ia kini menawarkan sensor kamera 12-Megapixel dan bukan lagi 40-Megapixel seperti yang ditawarkan pada peranti S22 Ultra.

Mod Rakaman Gambar Serba Baharu – Nightography, Multi Exposure Dan Astrophoto

Untuk mod rakaman gambar pula, kamera pada Samsung Galaxy S23 Ultra menampilkan penambahbaikan untuk rakaman mod rakaman malam iaitu Nightography. Pengguna bukan sahaja boleh merakam gambar pada waktu malam yang lebih jelas, tetapi turut boleh menikmati rakaman video yang lebih stabil dan sinematik ketika cahaya malap.

Selain itu, menerusi aplikasi Expert RAW, anda boleh menggunakan mod Multiple Exposure untuk melakukan suntingan seperti menggabungkan satu gambar dengan gambar yang lain tanpa perlu menggunakan aplikasi dari pihak ketiga.

Tidak sekadar menawarkan ciri suntingan yang menarik, Samsung juga turut hadir dengan mod yang paling ditunggu-tunggu oleh para penggemar Samsung iaitu mod Astrophoto.

Sekiranya anda ingin menggunakan kedua-dua ciri ini, anda hanya perlu melancarkan aplikasi kamera Expert RAW dan pilih mod yang ingin anda gunakan. Sebagai contoh, untuk mod Astrophoto, ia terletak di bahagian atas panel paparan. Kemudian tetapkan Sky guide dan seterusnya anda boleh laraskan tempoh tangkapan.

Bercakap mengenai aplikasi kamera Expert RAW juga, Samsung turut menambahbaik beberapa penawaran lain termasuk kemampuan mengambil gambar pada resolusi 50MP yang lebih besar.

Rekaan Peranti Tanpa Bonggol Kamera Yang Ketara

Bercerita mengenai rekaan pula, Samsung dilihat hadir penambahbaikan yang memuaskan pada model Samsung Galaxy S23 dan Galaxy S23+.

Ini kerana jika anda lihat pada bahagian belakang peranti, berdekatan dengan bahagian kamera, bonggol yang sebelum ini agak terkeluar pada Samsung Galaxy S22 sudah tidak lagi ditawarkan pada model Galaxy S23. Susunan kameranya juga dilihat lebih konsisten yang mana panel belakang model Galaxy S23 dan S23+ kini tampil lebih rata menggunakan susunan kamera secara Floating Camera tanpa bonggol yang ketara.

Malah, menjadikan rekaan Samsung Galaxy S23 lebih menarik adalah penawaran tubuh yang lebih petak dan minimalis yang menjadikannya lebih selesa sepanjang penggunaan.

Kustomasi Skrin Kekunci Mengikut Citarasa Pengguna

Untuk model peranti Galaxy S23 yang dilancarkan pada tahun ini juga, Samsung menawarkan kepada pengguna kelebihan kustomasi yang lebih menyeluruh yang mana kini anda boleh mengubahsuai paparan widget mengikut citara rasa anda.

Berdasarkan perkongsian Samsung, kelebihan ini ditawarkan melalui kemaskini sistem operasi mereka yang terbaharu iaitu One UI 5.1 yang berasaskan Android 13.

Jadi, adakah ia berjaya menarik minat anda?

Bagi yang berminat untuk mendapatkan siri Galaxy terbaru daripada Samsung, pratempahan kini dibuka untuk ketiga-tiga peranti Samsung Galaxy S23, S23+ dan S23 Ultra mulai 2 Februari sehingga 23 Februari 2023.

Bersama-sama dengannya, Samsung menawarkan potongan harga sehingga RM500 untuk setiap pra-tempahan yang dilaksanakan.

Untuk model Galaxy S23 dan S23+, ia menawarkan pilihan warna Black, Cotton, Green, dan Violet. Manakala Samsung Galaxy S23 Ultra pula hadir dengan pilihan warna Phanton Black, Green, Cream dan Lavender.

Berikut adalah senarai harga yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia:

  • Samsung Galaxy S23 – RM3899 (128GB)
  • Samsung Galaxy S23+ – RM4199 (256GB)
  • Samsung Galaxy S23+ – RM5199 (512GB)
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – RM5699 (256GB)
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – RM6199 (512GB)
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – RM7199 (1TB)