Menerusi jurnal yang dikeluarkan oleh JAMA Psychiatary, individu yang terdedah kepada udara kotor atau persekitaran dengan kualiti udara yang teruk untuk tempoh yang lama cenderung untuk mengalami kebimbangan dan depresi.
Hal ini kerana, berada di kawasan udara yang bersih adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan mental yang baik. Berdasarkan perkongsian pakar, gangguan kesihatan mental dilihat semakin meningkat dan merupakan antara punca utama DALY pada tahun 2019.

Apa itu DALY? Ia merupakan tahun hayat pelarasan ketidakupayaan atau disability-adjusted life-years yang menjadi ukuran beban ke atas penyakit keseluruhan, dinyatakan sebagai bilangan tahun hilang akibat sakit, hilang upaya atau kematian awal.
Dalam kes pencemaran udara, pakar mendapati terdapat korelasi hubungan antara pencemaran udara dan gangguan kesihatan mental. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pendedahan jangka pendek kepada pencemaran udara dikaitkan dengan peningkatan risiko kemasukan ke hospital.

Sementara sekiranya pendedahan kepada udara kotor berlarutan untuk tempoh yang lama, khusus bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, pendedahan kepada pencemaran udara boleh menjejaskan sistem saraf pusat, menyebabkan keradangan dan merosakkan sel-sel badan.
Kajian lain juga turut menunjukkan yang mana sesetengah pencemaran udara juga boleh menyebabkan badan melepaskan bahan berbahaya yang boleh menjejaskan penghalang darah-otak, rangkaian saluran darah dan tisu yang terdiri daripada sel-sel jarak rapat yang melindungi otak.
Sumber: CNN