Carian
Apa Yang Membezakan Imunoterapi Dengan Rawatan Kanser Yang Lain?
February 2, 2023 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun? Pengenalan hari khusus ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser yang boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan memberikan pelbagai kesan, serta cara rawatan dan pemulihannya.

Tidak dinafikan, teknologi merawat kanser pada masa kini telah berkembang dan menjadi semakin baik dan maju dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia termasuklah pengenalan satu teknologi baru yang telah dikenalpasti berkesan dalam merawat kanser iaitu rawatan Imunoterapi yang juga telah mula digunakan oleh Sunway Medical Centre Velocity di Malaysia.

Apa Itu Rawatan Imunoterapi?

Imunoterapi merupakan sebuah rawatan yang unik, yang mana ia menggunakan sistem imun badan untuk melawan kanser.

Menurut Pakar Perunding Onkologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad, beliau menerangkan bahawa sistem imun adalah seperti sepasukan polis di dalam tubuh yang mana ia direka untuk melindungi tubuh daripada sebarang jangkitan dan penyakit.

Dengan kehadiran sistem imun ini, ia bukan sahaja boleh melindungi tubuh manusia daripada pembentukan kanser tetapi juga mengesan dan menghapuskan sel yang rosak atau sel yang bermutasi dalam badan sebelum menghapuskannya sebelum ia menjadi ancaman ketara.

Namun begitu, kanser masih boleh berlaku apabila sistem imun tidak cukup kuat untuk membunuh sel kanser atau apabila sel kanser bersembunyi daripada sistem imun termasuklah menjadi sel kanser yang berupaya untuk menyerupai sel normal yang lain.

Perbezaan Rawatan Imunoterapi Dengan Rawatan Lain?

Imunoterapi berbeza sebagai rawatan kanser yang biasanya dilaksanakan oleh kebanyakan hospital kerana ianya lebih bersasar. Imunoterapi merawat pesakit dengan bertindak ke atas sistem imun mereka. 

Sel kanser bermula daripada sel-sel normal, justeru sistem imun tidak selalunya dapat mengecam sel kanser sebagai ancaman. Sel kanser ini diibaratkan seperti boleh menekan butang ‘brake’ pada sel imun lalu menyebabkan sistem imun tidak dapat menyerangnya.

‘Checkpoint inhibitors’ (sejenis imunoterapi) pula akan menurunkan semula ‘brake’ ini dari sistem imun dan membantu ia mengenali serta menyerang sel-sel kanser.

Menurut pakar juga, bagi tahap kanser yang lebih ketara, rawatan imunoterapi secara amnya akan dijalankan selama 2 tahun berserta pemantauan rapi daripada doktor pakar. 

Sebelum memulakan imunoterapi, pesakit perlu menjalani ujian biomarker tertentu seperti ujian PD-L1 yang perlu dilakukan terhadap spesimen kanser untuk memastikan pesakit akan mempunyai tindak balas terhadap rawatan.

Adakah Rawatan Imunoterapi Boleh Digunakan Untuk Merawat Segala Jenis Kanser?

Secara umumnya, imunoterapi boleh digunakan sebagai rawatan untuk pelbagai jenis kanser termasuklah kanser paru-paru bukan sel kecil, kanser payudara tiga kali ganda negatif, kanser kepala dan leher, kanser serviks, kanser gastrik, kanser esofagus, kanser pundi kencing, melanoma (sejenis kanser kulit), kanser hati, karsinoma sel renal serta kanser endometrium dan kanser kolon.

Dr Hafizah juga berkongsi pengalamannya dengan pesakit yang bertindak balas dengan baik terhadap rawatan imunoterapi termasuklah seorang pesakit wanita yang dirawatnya dua tahun lalu dengan kanser kulit tahap lanjut yang telah merebak dan tidak bertindak balas terhadap rawatan kemoterapi. Walau bagaimanapun, selepas menjalani imunoterapi pesakit tersebut kekal dalam keadaan remisi sehingga ke hari ini. 

Kesan Sampingan, Simptom Dan Alahan – Menjalani Rawatan Imunoterapi

Seperti mana-mana rawatan lain, imunoterapi juga memberikan kesan sampingannya. Kesan sampingan imunoterapi biasanya berbeza-beza kerana mekanisme tindakannya juga berbeza.

Secara amnya, rawatan akan mempunyai kesan sampingan ringan seperti rasa letih, ruam kulit atau sakit otot atau sendi. Walaupun jarang berlaku, sesetengah pesakit juga boleh menunjukkan reaksi alahan termasuk pening, jantung berdegup laju, muka bengkak atau masalah pernafasan.

Selain itu, pesakit juga perlu tahu jika mereka mengalami tindak balas autoimun yang boleh menyebabkan masalah serius kepada paru-paru, usus, hati, kelenjar hormon, buah pinggang, kulit atau lain-lain. Antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah cirit-birit, sakit perut yang teruk, batuk yang semakin teruk, sesak nafas atau kesukaran bernafas.

Setiap pesakit mempunyai perjalanan tersendiri untuk bebas daripada kanser, tetapi Dr Hafizah memberi jaminan bahawa penyelidikan kanser telah mendorong rawatan kanser ke era baru yang dapat membawa kepada kadar kawalan kanser atau kadar penyembuhan yang lebih tinggi.

Sekiranya anda ingin mencuba rawatan Imunoterapi ini, anda disyorkan untuk berunding dengan doktor mereka untuk mencari pilihan rawatan terbaik apabila disahkan dengan diagnosis kanser.

Komen