Mungkin sebelum ini anda pernah mendengar akan terma ‘Intermittent Fasting‘ atau puasa intermittent. Namun, tahukah anda apakah itu intermittent fasting dan bagaimana kaedah puasa ini berfungsi?

Secara umumnya, intermittent fasting merupakan sejenis kaedah diet yang memerlukan individu untuk merancang waktu makan mengikut jadual yang digilirkan. Sebagai contoh, anda akan meletakkan waktu makan pada jam tertentu dan kemudiannya diselangi dengan waktu tanpa makanan atau minuman yang juga dianggap sebagai waktu puasa.

Untuk pengetahuan anda juga, intermittent fasting ini turut dipraktikkan dalam beberapa cara iaitu:

  • Berpuasa semalaman yang mana cara ini memerlukan anda untuk berpuasa sekurang-kurangnya selama 12 jam.
  • Pengehadan waktu makan ketika siang. Cara ini biasanya menampilkan waktu puasa yang lebih panjang iaitu 14 hingga 16 jam.
  • Berpuasa selang hari. Untuk cara ini pula, anda akan menetapkan satu hari berpuasa dan satu hari makan yang akan dijadualkan secara berselang.

Selain tiga cara popular di atas, terdapat juga beberapa cara lain yang turut dilaksanakan oleh individu termasuklah melangkau waktu makan, berpuasa seharian yang mana individu akan makan pada jam 8 pagi hari ini, dan akan makan semula pada keesokan hari jam 8 pagi.

Rata-rata individu yang mengamalkan intermittent fasting ini biasanya bertujuan untuk melakukan pengurusan berat badan. Dan ada juga sesetengahnya yang menggunakan kaedah ini untuk menangani keadaan kronik seperti penyakit yang melibatkan usus besar, kolesterol tinggi dan juga arthritis.

Benarkah Intermittent Fasting Tidak Memberi Kesan Kepada Penurunan Berat Badan?

Walaupun amalan intermittent fasting ini telah dilaksanakan secara meluas oleh kebanyakan individu, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum mula mempraktikkannya.

Baru-baru ini juga, satu jurnal dari Journal of the American Heart Association melaporkan yang mana perkaitan antara selang hari makan dan berat badan adalah tidak begitu ketara. Menurut jurnal tersebut, masa makan mungkin tidak mempunyai kesan yang besar pada berat badan seperti yang pernah difikirkan individu.

Kajian ini telah dilaksanakan melibatkan 547 individu dalam tempoh 6 tahun. Kesemua mereka mempunyai tahap kesihatan dan berat badan yang berbeza. Hasil daripada kajian berkenaan, penyelidik yang merupakan seorang profesor perubatan bersekutu dalam bahagian perubatan dalaman am di Sekolah Perubatan Johns Hopkins mendapati tiada kaitan antara menyekat masa makan dan penurunan berat badan.

Itu termasuk berapa lama orang makan selepas bangun tidur, berapa lama tempoh makan mereka sepanjang hari dan berapa hampir untuk tidur mereka makan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit impak ke atas individu yang mengambil makanan dalam kuantiti yang lebih kecil dengan penurunan berat badan.

Tambah penyelidik lagi, mereka mencadangkan individu yang mengamalkan intermittent fasting untuk tidak hanya melihat kepada sudut waktu makan dan jumlah kalori sahaja, tetapi juga kualiti makanan yang diambil ketika di dalam satu-satu waktu makan. Dan ini semestinya bergantung kepada keperluan semasa badan bagi memastikan tahap kesihatan berada pada paras yang baik.

Sumber: Hello Doktor