Tahukah anda bahawa Khalid Al-Walid turut dikenali sebagai Saifullah Al-Maslul yang bermaksud pedang Allah SWT yang terhunus? Untuk pengetahuan anda, gelaran ini diberikan kepada beliau disebabkan sifatnya yang berani dan ditakuti oleh para musuh.

Khalid Al-Walid merupakan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. Beliau terkenal dengan kebijaksanaan dalam mengatur strategi peperangan dan keberaniannya ketika berperang. Khalid Al-Walid merupakan antara 3 general Islam yang tidak pernah tewas dalam semua peperangan yang disertai beliau, sama ada ketika beliau masih di zaman Jahiliyah mahupun setelah memeluk Islam.

Khalid bin Walid dilahirkan dalam keluarga yang dihormati. Bapa Khalid, iaitu Walid bin Al-Mughirah merupakan seorang pahlawan tersohor dan juga pemimpin Quraisy yang sangat dihormati oleh kaumnya. Sejak kecil lagi, beliau dilatih untuk menjadi seorang pahlawan. Beliau disegani dan dihormati kerana cekap menunggang kuda dan mahir menggunakan senjata.

Kehandalan di Medan Perang

Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan panglima tentera kaum kafir Quraisy yang kuat dan tegar menentang Islam. Perang Uhud merupakan salah satu perang yang disertai Khalid Al-Walid ketika beliau belum memeluk Islam.

Di dalam peperangan ini, pasukan tentera musuh yang ketika itu diketuai oleh Khalid Al-Walid, berjaya mengalahkan pasukan tentera Islam. Dengan kebijaksanaanya, beliau dapat mengesan kelemahan pasukan tentera Islam yang meninggalkan kawasan Bukit Uhud kerana ingin mengambil harta rampasan perang.


Beliau mengarahkan pasukakan berkudanya untuk menawan kawasan Bukit Uhud dan menyerang pasukan tentera Islam dari arah belakang. Akibatnya, pertahanan tentera Islam semakin rapuh dan akhirnya tewas di dalam peperangan ini.

Cinta Terhadap Islam

Walaupun belum memeluk Islam, Khalid Al-Walid tidak bersetuju dan tidak menyukai perbuatan menyembah berhala yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy. Bagi beliau perbuatan itu tidak masuk akal. Dalam peristiwa Sulh Al-Hudaibiyah (Perjanjian Hudaibiyah), Khalid Al-Walid bersama pasukan perisik diutuskan untuk menyerang kem tentera Islam di Hudaibiyah. Namun, selepas melihat Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat Zohor dengan tenang, Khalid membatalkan serangannya.

Rasulullah S.A.W amat suka terhadap kepintaran dan ketangkasan yang dimiliki oleh Khalid Al-Walid ketika berperang. Beliau menginginkan Khalid untuk memeluk dan menyertai pasukan tentera Islam. Baginda pernah berkata kepada Walid bin Walid, iaitu abang kepada Khalid Al-Walid, “Seseorang seperti Khalid tidak boleh lari lama daripada Islam, dia pasti akan tertarik pada Islam”. Mendengar ucapan itu, abangnya mengirim sepucuk surat kepada Khalid dan mengajaknya untuk memeluk Islam.

Setelah membaca surat itu, Khalid telah membuat keputusan untuk memeluk Islam dan mengajak rakan-rakanya untuk menyertainya. Ikrimah bin Abu Jahal, yang merupakan rakan Khalid dari kecil menentang keputusan itu. Abu Sufyan bin Harb, salah seorang rakan Khalid Al-Walid, berasa sangat marah dengan keputusan tersebut dan ingin menyerang Khalid Al-Walid, namun berjaya ditahan oleh Ikramah dan berkata, “Sabar wahai Abu Sufyan, kemarahanmu ini mungkin akan mendorong aku juga untuk bersama-sama Muhammad. Khalid bebas untuk memilih apa jua agama yang diingininya,”

Pada tahun 629 M, sepanjang perjalanan Khalid menuju ke Madinah, beliau telah bertemu dengan Amru al-As dan Uthman bin Talha, yang juga dalam perjalanan ke Madinah untuk memeluk Islam. Mereka tiba di Madinah pada 31 May 629, dan terus menuju ke rumah Nabi Muhammad S.A.W dan disambut oleh Walid bin Walid.

Kehebatan dan Sumbangan Khalid Al-Walid

Perang Mu’tah merupakan perang pertama Khalid bersama tentera Islam. Dalam peperangan itu, tentera Islam hanya berjumlah 3,000 orang berbanding tentera Rom yang dipimpin oleh Heraclius yang berjumlah 200,00 orang.

Khalid Al-Walid dipilih menjadi panglima setelah tiga panglima yang dilantik Rasulullah SAW gugur syahid dalam pertempuran. Mereka ialah Zaid bin Haritsah, Ja’afar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah. Dalam pertempuran itu, tidak kurang dari 9 bilah pedang hancur digunakan oleh Khalid untuk menebas tubuh musuh.

Khalid menyedari bahawa pasukan tentera Islam tidak dapat menandingi kekuatan tentera lawan lalu beliau mengatur strategi baharu, iaitu menukarkan posisi setiap anggota tentera Islam. Anggota yang berada di belakang ditukarkan ke bahagian depan, dan sebaliknya. Strategi ini berjaya membuatkan tentera Rom rasa takut. Mereka mengangap bahawa bantuan tentera Islam dari Madinah telah sampai.

Kehandalan dan kebijaksanaan Khalid Al-Walid dalam peperangan berjaya memimpin pasukan Islam menumpaskan tentera Rom dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja. Dalam peperangan Yarmuk, yang bermula daripada cebisan dan sambungan daripada peperangan Mu’tah, tentera Islam berjaya mengalahkan kerajaan yang tersangat kuat ketika itu, iaitu kerajaan Romawi Timur (Byzantine-Rom). Walaupun tentera Rom memiliki kelengkapan senjata yang lengkap dan tentera yang begitu ramai, kemenangan tetap berpihak kepada tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid.

Kewafatan Khalid Al-Walid

Pada tahun 21 Hijrah, Khalid Al-Walid telah jatuh sakit dan tidak dapat turut serta dalam peperangan. Panglima terulang yang hebat ini jatuh sakit dan terbaring di katilnya. Hajat beliau untuk mati syahid di medan perang tidak kesampaian.

Seorang sahabat menziarah Khalid Al-Walid ketika sakit berkata, “Wahai Khalid, kamu harus mengetahui bahawa pada ketika Rasullullah menggelarmu pedang Allah, sesungguhnya itu menjadi ketetapan bagimu untuk tidak gugur di medan perang. Seandainya engkau gugur di tangan orang kafir maka itu bermaksud pedang Allah telah dipatahkan oleh musuh”.

Khalid Al-Walid menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 58 tahun. Beliau hanya meninggalkan seekor kuda dan pedang yang pernah digunakannya di medan perang. Pemergian Khalid Al-Walid merupakan satu kehilangan yang besar dan diratapi oleh umat Islam.