Henna atau inai secara umumnya merupakan seni lukisan yang sinonim dengan majlis-majlis tertentu seperti majlis pertunangan dan juga perkahwinan. Namun, untuk sesetengah individu pemakaian henna ini tidak hanya dilakukan sewaktu majlis penting sahaja, tetapi juga pada waktu-waktu lain yang sebagai hobi atau minat.
Untuk pengetahuan anda, henna atau turut dikenali sebagai mehndi ini berasal dari Pakistan, Afrika, India dan beberapa negara Timur Tengah yang lain. Ia pada asalnya digunakan oleh masyarakat zaman dahulu adalah disebabkan daun inai mempunyai sifat penyejukan semula jadi. Oleh yang demikian, penggunaan henna ini popular dalam kalangan orang yang tinggal di iklim padang pasir yang panas.

Pada ketika itu, mereka akan menyediakan pes inai dan kemudiannya menyapukannya pada tapak tangan dan tapak kaki. Malah, masyarakat terdahulu juga turut menggunakan daun inai untuk tujuan perubatan yang mana ia akan disapu pada kulit untuk merawat penyakit seperti sakit perut, melecur, sakit kepala dan juga luka luaran.
Apa Yang Menjadikan Inai Semakin Popular?
Penggunaan henna dilihat semakin berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia menjadi antara satu perhiasan diri yang tidak hanya digunakan oleh sesetengah masyarakat sahaja, tetapi juga diakses oleh semua peringkat sosioekonomi.
Lebih-lebih lagi dengan kehadiran variasi pilihan produk inai yang boleh didapati di pasaran, ia sekaligus menjadikan permintaan untuk henna ini lebih meluas. Untuk pengetahuan anda, henna juga hadir dengan pelbagai varian warna, dari putih, merah, oren, coklat dan juga hitam.

Reka bentuk inai bukanlah tatu yang mana ia akan kekal dan dakwatnya menembusi kulit. Tetapi inai ialah pewarna sementara yang terletak pada permukaan kulit. Selain pada kulit, inai juga digunakan untuk mewarnakan rambut, bulu tiruan , kuku dan juga fabrik.
Kandungan Bahan Dalam Inai Moden – Ketahui Bahan Inai Yang Berbahaya
Adalah penting untuk anda mengetahui bahan-bahan yang terkandung di dalam sesuatu produk. Ini disebabkan bagi mengelakkan kesannya melarat ke tubuh sehingga boleh menjejaskan dan mengancam kesihatan.
Untuk henna semula jadi, semestinya bahan utama yang ada padanya adalah daun inai atau nama saintifiknya adalah Lawsonia Inermis. Untuk inai yang terhasil menggunakan daun ini, ia biasanya menampilkan warna yang lebih ke arah keperangan.
Disebabkan itu, ramai pengeluar akan menambah beberapa bahan lain untuk mendapatkan varian warna yang baharu.

Jika anda perhatikan trend henna pada masa kini, warna hitam antara warna yang popular dalam kalangan pengguna. Dakwat yang dipasarkan sebagai inai hitam mungkin merupakan campuran inai dengan bahan lain, atau dalam segelintir kes, ia mungkin sekadar pewarna rambut sahaja.
Tujuan penambahan bahan lain dalam inai tersebut adalah untuk mencipta henna yang lebih gelap dan tahan lebih lama. Namun, harus diingatkan bahawa untuk menghitamkan inai, pengeluar akan menggunakan bahan pewarna rambut yang mengandungi p-phenylenediamine (PPD), bahan yang boleh menyebabkan tindak balas kulit yang berbahaya pada sesetengah orang.

Menurut FDA, bahan perwarna p-phenylenediamine (PPD) ini secara undang-undangnya tidak dibenarkan kegunaannya di dalam produk kosmetik. Ini kerana terdapat beberapa kes keselamatan telah dilaporkan disebabkan oleh penggunaan langsung pada kulit.
Di Amerika Syarikat, ada dua kes yang dilaporkan berlaku ke atas individu yang mana penggunaan henna hitam ini mengakibatkan kulit menjadi merah dan gatal dan kemudiannya mula melepuh dan dipenuhi dengan cecair.
Sumber: FDA