Carian
Peningkatan Dopamin Ketika Mandi Membuatkan Individu Lebih Kreatif
February 10, 2023 Lina Rosli

Berdasarkan definisi di sebalik terma dopamin, ia adalah bahan kimia yang dikeluarkan otak yang mana ia berfungsi membuatkan anda berasa baik.

Secara umumnya, mempunyai jumlah dopamin yang betul adalah penting untuk badan dan otak anda. Hal ini kerana, dopamin membantu sel saraf untuk menghantar mesej dari otak ke bahagian tubuh yang lain.

Untuk pengetahuan anda, selain berfungsi sebagai medium penghantaran mesej di dalam tubuh, dopamin juga bertanggungjawab dalam memberikan individu menikmati rasa keseronokan, kepuasan dan motivasi.

Oleh sebab itu, apabila anda berasa gembira atau sewaktu anda berjaya mencapai sesuatu, otak anda akan mengalami lonjakan dopamin yang akan membuatkan anda berasa ketagih untuk mendapatkannya lagi.

Apakah Kaitan Dopamin Dengan Peningkatan Tumpuan, Ingatan Dan Emosi Positif?

Di otak, dopamin bersama-sama dengan bahan kimia lain seperti serotonin, oksitosin dan endorfin memainkan peranan penting dalam mempengaruhi peningkatan kreativiti otak, ingatan dan fokus.

Oleh sebab itu, sewaktu mandi, bersenam atau beriadah, kebiasaannya otak akan merembeskan hormon dopamin yang boleh menggalakkan mood yang positif dan santai. Dan dengan pelepasan hormon ini, ia boleh meluaskan skop pemikiran anda untuk menjana idea-idea yang lebih kreatif dan lebih meluas.

Sebagai perbandingan, sewaktu anda dalam keadaan cemas, otak pula akan cenderung untuk berfikir lebih analitikal. Dan disebabkan itu, ia akan menyempitkan tumpuan perhatian, sekaligus mengganggu kreativiti otak untuk mendapatkan idea yang segar dan baharu.

Jadinya, apabila berada di dalam situasi seperti ini, anda sering disarankan untuk berehat dan tenangkan fikiran terlebih dahulu sebelum mula berfikir sekali lagi.

Mengapa Keadaan Fikiran Santai Bantu Berfikir Secara Kreatif?

Apabila fikiran kita tenang, gelombang alfa yang melalui otak lebih cenderung untuk mengarahkan tumpuan perhatian ke dalam, ke arah aliran bahagian terpencil yang terpancar dari hemisfera kanan.

Sebaliknya, apabila kita fokus dan tekun, perhatian kita cenderung terarah ke luar, ke arah perincian masalah yang kita cuba selesaikan. Walaupun corak perhatian ini diperlukan semasa menyelesaikan masalah secara analitikal, ia sebenarnya menghalang kita daripada mengesan perkaitan yang membawa kepada kreativiti.

Itulah sebabnya begitu banyak idea yang dapat dijana semasa mandi lebih-lebih lagi air panas atau suam kerana berlakunya peningkatan dopamin.

Bagi kebanyakan individu, mandi adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk menenangkan fikiran. Namun, sekiranya anda mempunyai cara lain yang berfungsi untuk menstabilkan emosi dan fikiran, itu juga boleh digunapakai untuk meningkatkan kreativiti otak anda.

Sumber: Into Action Recovery Centres, Scientific American

Komen