Tubuh normal bagi seorang manusia mengandungi kira-kira 60% air. Air berfungsi untuk membuang toksid dari organ dalam badan, membawa nutrien ke sel serta membantu dalam penghadaman makanan.
Kita minum air untuk kekal hidrasi. Jika tidak, badan kita akan berasa lemah, membuatkan kita cepat penat, mengantuk dan mungkin mengalami sakit kepala. Oleh itu, ramai pakar mencadangkan agar meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong setiap hari untuk kekal hidrasi.
Namun, sekiranya anda minum air terlalu banyak, anda mungkin akan mengalami fasa terlebih hidrasi. Menurut daripada petikan hellodoktor, Overhydration atau terlebih hidrasi ini mungkin akan menyebabkan anda mengalami keracunan air kerana amaun elektrolit serta garam yang keluar terlalu banyak.
Ini akan membawa anda kepada satu keadaan yang dikenali sebagai Hyponatremia di mana elektrolit dan garam dalam tubuh badan menjadi sangat sedikit. Kondisi ini mungkin boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.
Buah Pinggang Akan Terjejas
Pasti anda tertanya-tanya mengapa kondisi ini berbahaya. Ini kerana ia ada kaitan dengan fungsi organ buah pinggang anda.
Apabila kandungan air dalam tubuh badan terlalu banyak, fungsi buah pinggang mungkin akan terganggu dan air tidak mampu dibuang sepenuhnya. Ini akan menyebabkan kandungan elektrolit dan garam yang akan terkeluar daripada tubuh badan.
Antara simptom yang boleh berlaku sekiranya anda minum air terlalu banyak adalah seperti berikut:
- Lemah otot
- Muntah-muntah
- Pening kepala dan mual-mual
- Sawan
- Koma
- Kematian
Konklusinya, air kosong bagus untuk kesihatan dan tubuh badan kita, tapi jangan minum terlalu banyak kerana ada kesan sampingan yang menanti. Sila berhati-hati dengan pengambilan air anda agar tidak terlalu kurang dan tidak terlalu lebih. Ikutlah panduan yang telah disyorkan pakar, iaitu sekitar 8 gelas sehari.
Semoga bermanfaat !
Sumber: Hello-Doktor