Carian
5 Tips dan Persediaan Penting Sebelum Menghadapi Temuduga
February 10, 2023 Hafiz Suhaimi

Mendapat panggilan temuduga merupakan suatu kebahagian. Setelah anda bersusah payah menghantar resume dan surat permohonan pekerjaan, akhirnya anda dipanggil untuk sesi temuduga. Oleh itu, bermula dari sekarang, anda perlu melakukan persediaan yang secukupnya. Lebih banyak persediaan yang anda lakukan, lebih yakin untuk anda menjawab soalan-soalan temuduga.

Anda harus ingat, dalam dunia yang sangat mencabar hari ini, sudah pasti ramai calon yang berkelayakan mengisi kekosongan jawatan yang sama seperti anda. Oleh itu, penting untuk anda menjadi seorang yang berbeza berbanding orang lain. Apa yang anda perlu lakukan sekarang ialah berlatih untuk menjual diri anda kepada bakal majikan anda semasa temuduga nanti.

1. Buat Kajian Tentang Syarikat

Sebelum menghadiri temuduga, anda perlu membuat kajian tentang syarikat supaya anda mendapat gambaran umum tentang syarikat tersebut. Ini akan meningkatkan lagi kredibiliti anda kepada panel temuduga dan membantu anda mencipta soalan-soalan yang boleh ditanya kepada panel temuduga.

2. Ketahui Lokasi Syarikat

Pastikan anda tahu dimana lokasi sesi temuduga akan berlangsung. Anda perlu atur perjalanan anda supaya anda boleh sampai pada masa yang tepat. Bagaimana untuk ke sana? Berapakah masa yang yang diambil untuk ke sana? Bagaimana dengan kawasan tempat letak kenderaan? Dengan mengetahui perkara ini, anda boleh merancang perjalanan anda lebih awal dan sampai pada masa yang tepat.

3. Etika Pemakaian yang Betul

Anda perlu pilih pakaian yang sopan dan bersesuaian semasa menghadiri temuduga. Walaupun anda tidak begitu arif tentang budaya syarikat dan tiada maklumat khas tentang pakaian yang perlu dipakai ketika sesi temudua, adalah lebih selamat jika anda mengenakan pakaian yang kemas dan formal.

Secara asasnya, lelaki dengan kemeja, seluar slack dan kasut tertutup. Manakala, perempuan boleh mengenakan baju kurung bersama kasut yang bersesuaian.

4. Praktis atau Latihan Temuduga

Anda boleh membuat persediaan temuduga dengan membuat latihan bagaimana temuduga itu akan berlangsung. Anda boleh minta bantuan daripada kawan-kawan untuk menjadi panel temuduga. Pastikan anda bersedia dengan soalan-soalan yang akan ditanya ketika temuduga.

Ini antara soalan-soalan yang biasa akan ditanya panel temuduga kepada calon mereka. Antaranya adalah:

  • Terangkan mengenai diri anda
  • Mengapa memohon jawapan tersebut
  • Apakah cabaran terbesar yang pernah dihadapi
  • Pencapaian tersebar anda
  • Kelemahan dan kekuatan anda
  • Kenapa anda memohon jawatan ini
  • Apakah yang anda boleh bagi kepada syarikat.

Ini merupakan antara soalan kebiasaan yang akan ditanya oleh panel temuduga. Jadi, sediakan jawapan yang ringkas dan padat. Tujuan latihan ini adalah untuk membantu supaya anda lebih yakin, tenang dan positif ketika temuduga.

5. Bawa Dokumen yang Penting

Ini merupakan ‘senjata’ penting yang anda perlukan untuk menjual diri anda kepada bakal majikan. Pastikan anda sediakan salinan dokumen asal dan salinan yang perlu dibawa ketika temuduga:

  • Resumer bergambar
  • Kad Pengenalan
  • Transkrip Akademik
  • Surat pengesahan habis belajar
  • Sijil-sijil penghargaan

Pastikan susunan salinan sama dengan susunan salinan asal supaya memudahkan panel untuk membuat rujukan. Jika anda graduan baharu, jangan lupa bawa semua transkrip pengajian anda.

Setiap sesi temuduga adalah pengalaman yang sangt bernilai. Walaupun anda tidak memperoleh kerja yang ditawarkan sekalipun, anda akan lebih bersedia dan akan menjadi lebih baik dalam temuduga yang akan datang. Semua ini akan meningkatkan keyakinan serta peluang anda untuk ditawarkan pekerjaan yang seterusnya. Semoga berjaya !

Komen