Jika kita imbau kembali kenangan pada zaman kanak-kanak yang dialami sewaktu kecil dahulu, sudah tentu ia amat dirindui dek kerana semua kanak-kanak akan berasa riang dan gembira sebelum mereka mengetahui akan beratnya beban dan tanggungjawab sebagai orang dewasa.

Tidak dinafikan di seluruh dunia, ramai orang muda dilihat sudah mula bergelut dengan kesihatan mental yang kurang baik. Dianggarkan 86 juta orang muda berusia 15 ke 19 tahun hidup dengan diagnosis kesihatan mental. Antaranya, 50% bermula pada umur 14 tahun dan 75% pada pertengahan 20-an.

Apa maknanya statistik itu kepada anak-anak muda kita? Ini bermakna isu kesihatan mental menyerang di saat mereka sedang berada di waktu penting kehidupan akademik mereka yang menjangkau masa dari persekolahan menengah hingga ke kolej dan universiti.

Isu Kesihatan Mental Boleh Mula Dialami Seawal Umur 16 Tahun

Sebelum kita menganggap masalah ini berpunca daripada gaya hidup dan falsafah asing, mari kita lihat statistik tempatan. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendapati masalah kesihatan mental yang paling tinggi tersebar luas dalam kalangan mereka yang berumur 16 ke 19 tahun, di mana 18.3% mengalami kemurungan, manakala 10% lagi mempunyai kecenderungan berfikir untuk membunuh diri.

Apa yang lebih merisaukan adalah peningkatan berterusan dalam kes-kes yang dilaporkan iaitu dari 10.6% pada tahun 1996 kepada 29.2% pada 2015 yang melibatkan anak-anak muda berusia 16 tahun ke atas. Antara faktor yang dikaitkan dengan peningkatan ini termasuklah pengangguran, masalah kewangan, isu keluarga dan perhubungan, yang ditambah pula kemahiran daya tindak yang lemah dan kurangnya sokongan sosial.

Biarpun pandemik COVID-19 memberi kesedaran dan tumpuan mengenai isu kesihatan mental dan saluran sokongan yang tersedia, masih terdapat banyak kekangan kepada rawatan seperti lemahnya pemahaman mengenai masalah kesihatan mental, takut akan stigma sosial dan perasaan malu, kurangnya sokongan sosial dan kesukaran mendapatkan khidmat profesional dalam menangani isu tersebut.

Bagi pelajar universiti yang ke luar negara untuk menamatkan pengajian mereka, perkara ini boleh menjadi masalah yang lebih buruk.

Peranan Universiti Dalam Memastikan Kesejahteraan Para Pelajar

Untuk mencari penyelesaian kepada isu ini, universiti seperti Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) sering bekerjasama rapat dengan fakulti-fakulti rakan universitinya bagi memastikan kesejahteraan para pelajar terjaga dan mendapat sokongan penuh, selain menyediakan penanda aras tentang bagaimana para pelajar IMU bertahan di luar negara.

Sokongan boleh datang dalam bentuk inisiatif yang diterajui pelajar sendiri seperti sokongan rakan sebaya di mana pelajar menghulurkan bantuan secara efektif dan sesi-sesi kaunseling bersama peneraju akademik, pembimbing kanan atau kaunselor profesional.

Goh You, seorang pelajar pertukaran tahun kelima di Universiti Edinburgh, berkongsi perspektifnya mengenai isu kemurungan, kebimbangan, insomnia dan kelesuan yang mana menurutnya adalah perkara biasa dalam kalangan pelajar berpunca pelbagai sebab dan semakin memburuk kerana berjauhan dari keluarga.

Berpindah dari Malaysia yang bercuaca panas ke kota Edinburgh yang dingin, membuatkan Goh menyedari yang hal kecil pun menjadi satu peringatan kepada dirinya yang dia berada jauh dari tanah air. Misalnya, apabila berlakunya kekeliruan nama sendiri dan nama keluarga dan kesukaran memahami loghat Inggeris Scotland.

Dengan berlakunya semua perkara ini, ia menjadikan individu berasa mereka seolah-olah keseorangan dan perlu berusaha lebih lagi untuk membina perhubungan dalam cabaran budaya dan sosial yang berbeza.

Apakah Gejala Atau Perubahan Tingkah Laku Yang Berlaku Pada Individu Yang Mempunyai Isu Kesihatan Mental?

Berikut adalah beberapa perubahan tingkah laku yang perlu diperhatikan menurut kaunselor dari Unit Perkembangan Diri IMU:

  • Gangguan pada corak tidur. Ini termasuklah kesukaran untuk tidur dan bangun tidur. Individu juga akan sering terjaga di tengah malam atau tidur berlebihan.
  • Ledakan emosi seperti terlalu sensitif, mudah jengkel dan marah.
  • Kelesuan yang berterusan atau selalu penat
  • Daya penumpuan yang lemah, termasuklah mudah terganggu ketika bersembang.
  • Perubahan ketara dalam tabiat pemakanan serta perubahan berat badan yang tiada kaitan dengan isu kesihatan fizikal
  • Menarik diri secara sosial. Seseorang itu mungkin mengelak atau menarik diri dari aktiviti sosial, kurang aktif, lebih banyak berdiam diri atau tidak ikut serta dalam kumpulan sosial. Mereka juga mungkin mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain
  • Corak tingkah laku yang diterangkan di atas muncul secara berterusan dan bukannya pada satu-satu masa sahaja atau dalam waktu yang singkat.

Beberapa tanda amaran itu dengan mudah boleh disalaherti atau disalahtafsir dalam konteks sosial yang berbeza. Oleh itu, adalah penting untuk kita bersabar dalam memahami tingkah laku seseorang apabila ia boleh menunjukkan kemungkinan risiko kesihatan mental.

Langkah Segera Yang Perlu Dipraktikkan Untuk Beri Sokongan Kepada Individu Yang Mengalami Isu Kesihatan Mental

Mengenal pasti tanda-tanda amaran hanyalah langkah pertama.

Langkah seterusnya adalah menawarkan sokongan kepada individu yang sedang bergelut dengan kesihatan mental. Para kaunselor di Unit Pembangunan Diri IMU berkata, adalah sangat penting untuk mendengar kata hati kita, yang mana seringkali tanda-tanda itu sebenarnya sudah ada dan memberitahu kita ada sesuatu yang tidak kena.

Berikut adalah pesanan mereka yang berdasarkan model NEC:

  • Notice (Sedar) – Beritahu individu bahawa anda risau dengan keadaan dirinya seperti, “Saya perasan yang awak kurang makan atau tidur sejak akhir-akhir ini.”
  • Express concern (Nyatakan kebimbangan) – Beritahu individu bahawa anda bimbangkan mereka dan tawarkan ruang dan privasi untuk anda mendengar masalah mereka dan menyokong mereka dalam apa sahaja keadaan. “Saya risaukan kamu. Apa yang berlaku? Saya di sini jika kamu ingin berbual.”
  • Connect them to someone who can help (Hubungkan mereka dengan orang yang boleh membantu) – Cadangkan seseorang atau sumber di mana mereka boleh mendapatkan bantuan yang diperlukan, atau tawarkan diri anda untuk menemani mereka apabila mereka sudah bersedia untuk mendapatkan bantuan professional. Contohnya, ‘Saya mungkin tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini sekarang, tetapi saya ada seorang kawan yang mendapatkan bantuan daripada XYZ; mungkin kita boleh ke sana bersama-sama?”

Mendapatkan sokongan yang betul adalah sangat penting dalam menguruskan kesihatan mental. Namun begitu, ketika ini sekitar 20% sahaja rakyat Malaysia yang menderita masalah kesihatan mental yang mendapat rawatan serta penjagaan profesional. Sebagai bantuan, terdapat beberapa pilihan yang tersedia untuk individu dan/atau penjaga mereka, termasuklah:

  • Organisasi Bukan Kerajaan (NGO). Banyak organisasi yang menawarkan sokongan kesihatan mental dengan bayaran yang berpatutan seperti khidmat kaunseling AGAPE, SOLS 24/7 dan Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)
  • Hospital-hospital kerajaan. Surat rujukan diperlukan yang boleh didapati daripada doktor
  • Unit-unit kaunseling di pusat-pusat pengajian tinggi
  • Pengamal kesihatan mental swasta (termasuklah pakar psikiatri swasta, pakar psikologi klinikal dan kaunselor)
  • Program-program praktikal/latihan amali di universiti-universiti tertentu seperti di IMU

Untuk mendapatkan senarai sumber khidmat kesihatan mental yang lebih komprehensif, sila rujuk halaman https://sites.google.com/view/psymalaysia/.