Menurut portal MyHealth KKM, aterosklerosis adalah satu penyakit yang berlaku disebabkan oleh pembentukan plak dalam arteri. Plak yang terbentuk ini terdiri daripada kolesterol, bahan berlemak, bahan buangan selular, kalsium dan fibrin, agen pembekuan dalam darah.

Apabila plak terkumpul, dinding saluran darah akan mula menebal sekaligus akan menyebabkan pengurangan kapasiti aliran darah. Dan ia akhirnya boleh mengurangkan jumlah oksigen dan nutrien lain untuk sampai ke seluruh badan.

Selain itu, komplikasi lain yang disebabkan oleh aterosklerosis juga adalah:

  • Plak akan tertanggal daripada dinding arteri pada bila-bila masa dan arteri menjadi sempit serta-merta. Plak yang tertanggal ini juga dikenali sebagai trombus.
  • Plak akan melemahkan dinding arteri sehingga menyebabkan arteri membengkak dan menonjol keluar, ia dikenali sebagai aneurisme. Pendarahan dalaman yang parah akan berlaku sekiranya aneurisme pecah.

Untuk pengetahuan anda, aterosklerosis boleh membawa kepada keadaan kesihatan kardiovaskular. Ia termasuk penyakit jantung koronari, serangan jantung, strok dan penyakit arteri karotid atau periferal.

Bagaimana aterosklerosis terjadi?

Banyak faktor yang menyumbang kepada terjadinya aterosklerosis iaitu:

  • Faktor genetik – Boleh berlaku dalam kalangan individu dengan sejarah keluarga sama ada ibu-bapa, adik-beradik dan saudara yang pernah menghidap aterosklerosis
  • Tahap lemak yang tidak normal – Kesan daripada paras lemak LDL yang tinggi dan lemak HDL yang rendah dalam darah
  • Tekanan darah tinggi
  • Merokok
  • Gaya hidup tidak aktif
  • Berat badan berlebihan
  • Diabetes

Selain itu, dalam laporan CNN yang merujuk kepada jurnal yang diterbitkan Persatuan Jantung Amerika, tabiat tidur yang kurang baik termasuk kualiti rehat yang buruk, kuantiti tidur yang tidak normal dan jam serta waktu tidur yang tidak konsisten turut dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular.

Mengapa adanya perkaitan antara dua perkara ini? Menurut kajian, individu yang kurang tidur atau corak yang tidak teratur cenderung mempunyai gaya hidup yang kurang sihat seperti amalan diet dan aktiviti fizikal.

Mengapa Tidur Yang Teratur Penting?

Jadinya, apabila mereka tidak mempraktikkan gaya kesihatan seperti yang dicadangkan pakar kesihatan, sudah semestinya badan tidak mendapat rehat yang diperlukan. Tidur adalah penting untuk jantung kerana pada waktu itulah ia dapat berehat, kerana ketika itu kadar denyutan jantung menjadi perlahan dan tekanan darah biasanya menurun.

Tanpa rehat biasa, jantung dan sistem vaskular boleh menjadi tertekan dari semasa ke semasa.

Dalam laporan yang dinyatakan oleh Institusi Kanser Kebangsaan, ramai individu cenderung mengalami gangguan tidur. Tidur yang terganggu terutamanya ketika mereka yang mengalami apnea tidur, ia biasanya mengeluarkan katekolamin seperti adrenalin yang boleh mencetuskan penyakit kronik. Gangguan tidur juga boleh menjadi tanda peningkatan tekanan atau kebimbangan.