Ketumbit atau tembel selalunya dialami oleh individu untuk tempoh yang pendek. Ia tidak memerlukan rawatan yang kompleks, namun sekiranya ia tidak pudar dalam masa 48 jam dan telah mencetuskan ketidakselesaan, individu disarankan untuk berjumpa dengan pakar mata bagi mendapatkan rawatan.
Untuk pengetahuan anda, ketumbit ialah keadaan mata biasa yang disebabkan oleh jangkitan pada kelenjar minyak pada bahagian kelopak mata. Secara fizikalnya, ia kelihatan sebagai benjolan kecil yang menyakitkan di tepi kelopak mata dan ia boleh menyebabkan kemerahan, bengkak dan ketidakselesaan.

Ketumbit ini juga terbentuk apabila folikel pada kelopak mata dijangkiti atau tersumbat dan ia mungkin kelihatan seperti jerawat namun tidak mengandungi cecair seperti jerawat.
Apabila mata seseorang dijangkiti kuman, terdapat beberapa perkara yang patut dan tidak patut anda lakukan. Untuk mengetahui lebih lanjut, di bawah adalah langkah utama penjagaan mata yang perlu anda praktikkan:
- Bersihkan kawasan yang terjejas. Gunakan kain lap yang bersih, hangat dan lembap untuk membersihkan kawasan yang terjejas dengan perlahan. Ini akan membantu menghilangkan serpihan atau kerak yang boleh menyebabkan kerengsaan.
- Sapukan kompres hangat pada mata yang terjejas selama 10-15 minit beberapa kali sehari. Ini akan membantu melegakan ketidakselesaan dan menggalakkan aliran pada bahagian mata lebih lancar.
- Pastikan tangan anda bersih. Jadiakan amalan mencuci tangan anda sebagai tabiat terutamanya sebelum menyentuh mata anda.
- Gunakan ubat penahan sakit yang didapatkan dari kaunter perubatan. Jika anda mengalami kesakitan atau ketidakselesaan, anda boleh mengambil ubat penahan sakit seperti acetaminophen atau ibuprofen.
Manakala, berikut adalah perkara yang tidak patut anda lakukan sewaktu mengalami ketumbit:
- Picit atau letuskan bisul. Adalah penting untuk mengelak daripada memicit atau meletuskan bisul, kerana ini boleh menyebabkan jangkitan merebak atau bertambah teruk.
- Pakai kanta lekap mata. Sebaik-baiknya elakkan memakai kanta lekap semasa anda mempunyai ketumbit kerana ini boleh menyebabkan kerengsaan lebih lanjut pada mata.
- Kongsi barangan peribadi. Jangan campur dan kongsi barangan peribadi, seperti tuala atau kain lap, dengan orang lain kerana ini boleh merebakkan jangkitan.
- Guna dan pakai solekan mata. Elakkan menggunakan solekan mata semasa anda mempunyai ketumbit kerana ini boleh menyebabkan kerengsaan lanjut dan juga boleh merebakkan jangkitan.
Jika mata dan ketumbit anda tidak bertambah baik selepas beberapa hari penjagaan di rumah atau jika ia menjadi lebih menyakitkan, adalah penting untuk berjumpa doktor. Doktor anda mungkin menetapkan antibiotik atau rawatan lain untuk membantu membersihkan jangkitan