Carian
Dua Tiga Peranti Dicari, Mana Nak Sama Samsung Galaxy S-Dua-Tiga (S23) Yang Dipandang
March 14, 2023 Lina Rosli

Setiap kali Samsung memperkenalkan peranti terbaharu kepada umum, perkara pertama yang terlintas di fikiran Tajria adalah rekaan apakah yang akan dipertontonkan jenama popular ? Apakah warna yang akan ditawarkan dan banyak lagi.

Mana tidaknya, untuk setiap tawaran yang dihadirkan pada peranti Samsung lebih-lebih lagi untuk siri peranti mercu iaitu Samsung Galaxy S23, pastinya akan membuka lembaran yang baharu bermula dari rekaan, kamera, pengalaman penggunaan sehingga ke sistem operasinya.

Oleh itu, untuk menyelami asam garam penggunaan secara menyeluruh sewaktu menggunakan Samsung Galaxy S23, Tajria kali ini hadir dengan menceritakan serba serbi pengalaman penggunaan dan gambarkan apakah perasaan penggunaan peranti ini berbanding telefon pintar yang Tajria gunakan sebelum ini.

Rupa Dan Reka Yang Ditawarkan Pada Peranti

Menampilkan kemaskini rekaan yang serba baharu untuk Samsung Galaxy S23 ini, anda tidak lagi akan melihat bonggol yang ketara pada bahagian kamera mereka seperti yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S22 sebelum ini.

Apa yang menarik adalah, kini susunan kameranya dilihat lebih konsisten yang mana panel belakang peranti ini tampil dengan rekaan lebih rata yang dipanggil sebagai Floating Camera.

Menjadikan rekaan Samsung Galaxy S23 lebih kemas dan menarik adalah penawaran tubuh yang lebih petak dan minimalis yang menjadikannya lebih selesa sepanjang penggunaan.

Secara umumnya, pada awal penggunaan Samsung Galaxy S23, tiada banyak kesukaran yang dialami oleh penulis. Saiznya juga tidak terlalu besar, sesuai untuk para wanita yang mungkin ingin menggayakan beg tangan saiz kecil atau pouch mini ketika berada di luar.

Malah, disebabkan kemasan panel yang ditampilkan Samsung Galaxy S23 adalah jenis matte, maka dari segi penjagaan ia boleh dikatakan lebih mudah dan tidak cerewet. Anda juga tidak perlu risau untuk kerap membersihkan kesan cap jari pada panel selain ia turut mengurangkan risiko mudah calar sekiranya digunakan secara lasak.

Cumanya, dari segi pengalaman penulis sendiri, anda lebih disarankan untuk menggunakan kerangka luar tambahan. Hal ini kerana, kemasan matte ini boleh dikatakan agak licin dan mudah tergelincir sekiranya anda mempunyai barang di tangan yang banyak pada satu-satu masa.

Rakaman Gambar Lebih ‘Gempak’ Dari Biasa

Menyentuh mengenai kamera, Samsung telah menambah baik sensor yang ditawarkan pada Samsung Galaxy S23. Mana tidaknya, kamera kini adalah peranti utama yang disifatkan sebagai penyimpan memori masa kini.

Untuk pengetahuan anda, peranti ini hadir dengan tri-kamera utama iaitu sensor 50MP untuk sudut lebar, sensor 12MP untuk ultra sudut lebar dan 10MP lensa telefoto. Manakala untuk yang ingin mengetahui sama ada kamera swafoto telah ditambahbaik, jawapannya adalah ya. Samsung Galaxy S23 menampilkan lensa swafoto 12MP berbanding 10MP untuk Samsung Galaxy S22 sebelum ini.

Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, hasil rakaman gambar dan video adalah sangat memuaskan. Namun, untuk beberapa keadaan, seperti gambar makanan, warna yang terhasil pada gambar boleh dikatakan terlalu tinggi nilai saturation menjadikan hasilnya kelihatan seperti tidak asli dan terlalu ‘berwarna’.

Dibawah ini adalah beberapa sampel rakaman gambar yang diambil menggunakan kamera utama Samsung Galaxy S23:

Berikut adalah beberapa hasil rakaman swafoto menggunakan kamera utama. Hasil gambar yang terhasil memperlihatkan kejituan warna yang baik selain tidak mempunyai kesan perubahan warna pada kulit apabila objek berada di persekitaran yang mempunyai pencahayaan yang mencukupi.

Walau bagaimanapun, berbeza pula rakaman swafoto pada waktu malam kerana terdapat kesukaran untuk mendapatkan hasil gambar yang tidak menukar warna kulit. Jika anda lihat gambar dibawah, ia adalah hasil gambar yang menggunakan kamera swafoto. Warna kulit kelihatan sedikit pucat dan penghasilan warna juga tidak begitu kemas.

Sementara untuk mod Portraits pula, kesan bokeh yang dihasilkan adalah sangat baik. Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh penggunaan sensor kamera yang lebih besar menjadikan kabur pada gambar tidak kelihatan seperti terlalu jelas selain turut menampilkan kesan blending yang baik.

Ekosistem Mod Suntingan Terbina Hampir Lengkap

Namun, satu perkara yang paling penulis gemari untuk ketika merakam gambar menggunakan Samsung Galaxy S23 ini adalah ciri Expert RAW dan sambungannya terus pada aplikasi suntingan gambar Adobe iaitu Adobe Lightroom.

Menerusinya, penulis tidak perlu menukar secara alternate antara aplikasi galeri dan aplikasi suntingan. Ini kerana, untuk penulis sendiri, Adobe Lightroom adalah antara aplikasi suntingan yang paling kerap digunakan yang mana boleh dikatakan hampir semua gambar yang dikongsikan di platform-platform media sosial akan disunting di Lightroom terlebih dahulu.

Jadinya, apabila ada butang sambungan terbina pada aplikasi galeri Samsung, proses penyuntingan gambar menjadi lebih mudah dan pantas.

Selain itu, mod suntingan lain yang penulis gemar adalah penukaran latar belakang pada gambar Portraits yang dirakam. Melaluinya, penulis boleh mengubah latar belakang gambar yang tidak diinginkan bagi mendapatkan hasil yang lebih menarik untuk perkongsian umum.

Selain itu, di bawah adalah sampel gambar yang menggunakan zum digital sehingga 30x. Ia menampilkan hasil gambar yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Namun, berdasarkan pengalaman penggunaan Tajria, rakaman zum yang paling maksima yang sesuai untuk anda gunakan hanyalah sehingga 3 kali sahaja. 

Hal ini kerana untuk hasil rakaman 20x dan 30x adalah tidak begitu jelas selain mempunyai noise yang banyak sehingga menjadikan hasil gambar yang diambil seakan kartun.

Ketahanan Bateri Untuk Kegunaan Harian

Di sepanjang penggunaan penulis untuk tempoh dua minggu ini, kapasiti bateri yang diberikan adalah mencukupi dan tahan lama. Mana tidaknya, sebelum ini untuk Samsung Galaxy Z Flip4, penulis perlu mengecaj peranti beberapa kali sehari apabila menggunakannya secara kerap.

Tetapi untuk Samsung Galaxy S23, penulis tidak perlu risau akan hayat bateri kerana boleh digunakan sehingga lebih daripada 9 jam dengan kadar kesegaran suai didayakan dan lebih dari 12 jam dengan kadar penyegaran standard.

Untuk penggunaan biasa, penulis sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di Shopee dan juga bermain permainan mudah-alih, ia sudah mencukupi dan tidak perlu mengecas terlalu kerap.

Kelancaran Penggunaan Peranti Sewaktu Bermain Permua Dan Multi-Tugasan

Disebabkan penulis bukanlah seorang penggemar permainan mudah-alih yang tegar, maka penulis hanya melakukan ujian kelancaran penggunaan peranti sewaktu bermain Asphalt 9 sahaja.

Menggunakan Snapdragon Gen 8 For Galaxy, tidak dinafikan selang waktu yang diperlukan untuk melancarkan permainan Asphalt 9 tidak begitu lama iaitu kurang dari satu minit (bergantung kepada kelajuan capaian internet). Dan ini semestinya satu perkara yang sangat penting bagi kebanyakan individu yang menggemari permainan mudah alih.

Tahap keselesaan memegang peranti ketika bermain permainan juga adalah memuaskan dan berkemungkinan besar disebabkan saiznya yang kecil dan binaan yang ringan, walaupun ia dipegang pada tempoh yang lama, tangan penulis tidak berasa lenguh ataupun tidak selesa.

Walau bagaimanapun, apabila permainan dibuka secara konsisten untuk waktu yang panjang, anda akan merasakan panas pada bahagian belakang panel. Namun, ia tidaklah menjejaskan kualiti permainan secara umumnya.

Dari sudut multi-tugasan, kelancaran membuka aplikasi dari satu aplikasi yang lain juga mudah dan pantas. Ini kerana Samsung akan menghimpunkan empat aplikasi terakhir yang pernah digunakan di skrin utama.

Jika dilihat pada peranti Samsung yang lain juga, produktiviti sememangnya menjadi fokus utama Samsung yang mana Samsung Galaxy S23 ini sangat sesuai digunakan sebagai peranti produktiviti yang memudahkan anda untuk mengurus aktiviti menggunakan peranti.

Tidak dinafikan salah satu faktor yang menjadikan ramai yang berminat untuk mendapatkan peranti ini adalah sebabkan penawaran rekaan dan juga warnanya yang menarik dan menawan. Namun, jika dilihat dari sudut spesifikasi dan juga kelebihan peranti, pada pandangan penulis ia cukup berbaloi bagi anda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Jadi, adakah Samsung Galaxy S23 cukup menarik dan berbaloi untuk kegunaan anda? Jawapannya adalah ya.

Namun begitu, untuk harga yang ditawarkan, pada pandangan penulis sendiri, anda masih perlu pertimbangkan beberapa faktor yang menjadi keperluan utama anda sewaktu memilih peranti baharu. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin menggunakan telefon pintar dengan spesifikasi dan prestasi kamera yang menakjubkan, maka Samsung Galaxy S23 ini berbaloi untuk ditambah di dalam senarai peranti yang perlu anda dapatkan.

Komen