Safron merupakan salah satu rempah ratus yang popular dalam kalangan individu lebih-lebih lagi penggemar hidangan masakan dari Timur Tengah dan juga Asia Tenggara. Menampilkan rupa dan warna luaran yang terang dan berani iaitu warna merah, Safron ini sering digunakan di dalam masakan sebagai bahan perwarna.

Selain masakan seperti nasi dan lauk pauk, Safron juga digunakan secara meluas di dalam hidangan minuman seperti susu dan juga teh. Jika digambarkan dalam bentuk perkataan, rasa yang ditawarkan Safron adalah seakan rasa rempah yang sedikit pahit dan juga tajam.

Kelebihan Safron – Bila Ia Mula Digunakan Di Dalam Masakan?

Secara umumnya, Safron terhasil daripada stigma sejenis bunga yang bernama Crocus sativus. Antara kawasan yang paling kerap ditemui di sekitar Asia Tengah dan ia telah ditanam sejak ribuan tahun dahulu.

Menurut perkongsian, rempah ratus ini sangat popular sewaktu zaman Tamadun Yunani yang mana pada asalnya, Safron ini digunakan untuk meningkatkan suasana hati (mood) selain turut memperbaiki daya ingatan atau memori individu secara menyeluruh.

Untuk pengetahuan anda, antara negara pengeluar Safron terbesar di dunia adalah Iran yang mewakili hampir 40% dari jumlah keseluruhan eksport yang bernilai sekitar $105 juta. Selain itu, negara lain yang turut mengeksport termasuklah Sepanyol, Perancis dan Saudi Arabia.

Selain daripada kelebihannya ke atas individu, Safron juga dikatakan merupakan antara rempah ratus termahal dunia. Dalam laporan Kompas, Safron yang berkualiti boleh didapati dengan harga USD 5,000 untuk 450g yang mana bersamaan dengan RM21,235.

Ini berikutan proses penghasilannya dan pengurusannya yang rumit. Untuk setiap kuntum bunga Crocus sativus ini, ia mengeluarkan sekitar dua hingga tiga urat Safron yang mana ia perlu dituai secara manual menggunakan tangan disebabkan struktur uratnya yang halus dan mudah rosak.

Jika dilihat dari sudut penanaman, pokok Safron lazimnya tumbuh di kawasan pergunungan dengan iklim sederhana. Namun bagi tujuan komersial, Safron kini ditanam di kawasan tanah pamah.