Secret Recipe X NITA Cosmetics Hadir Dengan Rangkaian Alat Solek Inspirasi Dari Kek
Lina Rosli
Tahukah anda, baru-baru ini Secret Recipe telah berkerjasama dengan NITA Cosmetics dalam menawarkan barisan alat solek edisi terhad yang merangkumi gincu dan pemerah pipi.
Menurut Secret Recipe, kerjasama ini memfokuskan kepada inovasi dan gabungan unik antara pemanis mulut dan juga alat solek yang mana ia mengambil inspirasi dari siri kek popular yang ditawarkan di Secret Recipe.

Bagi yang tidak mengetahui, gabungan antara kosmetik dan makanan ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi sesetengah pihak. Sejak beberapa tahun lalu, sudah banyak jenama yang telahpun hadir dengan konsep ini. Menerusinya, pengguna boleh merasai pengalaman serba baharu ketika menggunakan kosmetik lebih-lebih lagi dipadankan dengan rasa dan aroma yang lazat apabila memakainya di wajah.
Berdasarkan perkongsian, NITA Cosmetics sudahpun sinonim dengan penawaran yang pelbagai dan bersifat inklusif. Jadinya, apabila bergabung dengan Secret Recipe, ia dijangkakan akan mencipta koleksi yang pasti menggembirakan peminat kecantikan dan makanan.

Terdapat dua koleksi edisi khas yang diperkenalkan di dalam kerjasama Secret Recipe X NITA Cosmetics iaitu Koleksi Kek Klasik dan Koleksi Kek Signature yang masing-masing menampilkan tiga tawaran alat solek unik iaitu dua gincu cecair dan pemerah pipi cecair.
Bagi anda yang berminat, Koleksi Kek Klasik hadir dengan rangkaian gincu yang diinspirasikan kek Chocolate Indulgence yang didatangkan dengan aroma coklat yang menarik, gincu cecair mini matte Chocolate Cheese Berries berwarna merah jambu dan pemerah pipi Crème Brulee Cheese mini gleam yang dilengkapi dengan kilauan minimal di pipi anda.

Koleksi Kek Signature pula menterjemahkan rasa Decadent Tiramisu, Chocolate Odyssey, dan Burnt Cheesecake ke dalam rangkaian produk gincu matte mini berbau tiramisu, gincu matte mini berwarna coklat dan pemerah pipi mini berwarna peach yang cair.
Untuk mendapatkannya, koleksi Secret Recipe X NITA Cosmetics edisi terhad ini boleh didapati di kedai atas talian NITA Cosmetics, dan dijual pada harga RM59.00 setiap satu.