Carian
Kajian Mendapati Tekanan Boleh Menyebabkan Penurunan Fungsi Kognitif
March 10, 2023 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa individu tidak akan dapat lari daripada mengalami tekanan dan bertindak balas terhadapnya?

Secara umumnya, tekanan ini bukanlah sesuatu yang buruk. Ada juga sesetengah tekanan yang dikategorikan sebagai sesuatu yang positif yang dikenali sebagai “eustress”. Sebagai contoh, apabila anda hendak mencapai sesuatu kejayaan sama ada lulus subjek yang anda gemari atau mendapat tempat pertama dalam acara lumba lari, anda akan bersiap sedia dengan segala latihan dan penjagaan diri sebagai persiapan untuk memperoleh kejayaan pada acara tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya tekanan tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi sesuatu yang negatif lebih-lebih lagi apabila seseorang menghadapi cabaran yang berterusan tanpa penyelesaian. Akibatnya, orang itu menjadi terlalu banyak tekanan dan masalah lain yang baru pula akan timbul.

Apakah Kesan Tekanan Kepada Diri Individu?

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh JAMA Network Open, para penyelidik mendapati bahawa peserta yang mempunyai tahap tekanan yang tinggi lebih berkemungkinan mempunyai faktor risiko kardiovaskular yang tidak terkawal dan faktor gaya hidup yang buruk.

Selain itu, individu dengan tahap tekanan yang tinggi juga adalah 37% lebih cenderung mempunyai fungsi kognitif yang lemah.

Antara faktor yang mengaitkan hubungan antara tekanan dan fungsi kognitif adalah tindakbalas yang dilakukan oleh tubuh terhadap perubahan emosi dan fizikal. Semasa tindak balas tekanan, amigdala dalam otak mengesan ancaman yang dirasakan dan menghantar isyarat kepada hipotalamus.

Seterusnya, hipotalamus pula akan berkomunikasi dengan seluruh badan melalui sistem saraf autonomi menerusi penghantaran isyarat yang tidak disengajakan termasuk naik turun pernafasan, tekanan darah, dan kadar denyutan jantung.

Jika dibandingkan sewaktu individu tidak berada di dalam keadaan tekanan, mereka akan merasakan bahawa kelebihan deria mereka adalah lebih cekap untuk mengesan maklumat dalam persekitaran. Namun ia akan berlaku sebaliknya jika individu terdedah kepada tekanan yang negatif secara konsisten.

Sebagai contoh, apabilah laluan isyarat tekanan dilepaskan, ia sekaligus akan menjejaskan fungsi kognitif yang lebih tinggi dari korteks prefrontal yang merangkumi perkara seperti kemahiran memproses maklumat, kreativiti, pemikiran lateral, daya tumpuan, kebolehan membuat keputusan, penyelesaian masalah, dan pelbagai kemahiran lain.

Dengan tekanan kronik juga, individu cenderung untuk kehilangan bahan kelabu dalam korteks prefrontal. Secara umumnya, ia adalah kawasan tepat yang terlibat untuk menghalang tindak balas tekanan dan kawasan yang memberi anda gambaran bahawa anda memerlukan bantuan.

Apakah Tanda-Tanda Tekanan?

Antara tanda yang sering dikaitkan dengan tekanan termasuklah:

  • sakit kepala
  • sakit perut
  • tekanan darah tinggi
  • sakit dada
  • masalah tidur

Dan ada juga kajian menyatakan bahawa tekanan juga boleh membawa atau memburukkan gejala atau penyakit tertentu.

Akhir sekali, sekiranya anda mendapat tekanan sedikit sebanyak telah memberi impak kepada diri, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan susulan daripada pakar.

Tidak dinafikan, untuk situasi jangka masa pendek, tekanan boleh bermanfaat untuk kesihatan anda. Ia dapat membantu anda menghadapi situasi yang berpotensi serius. Namun, ia akan menjadi satu tekanan yang kronik jika ia mempengaruhi kesejahteraan anda secara keseluruhan.

Sumber: Digital Commons

Komen