Carian
75% Kanak-Kanak Sering Alami Gusi Berdarah Dan Gigi Reput – Ketahui Langkah Penjagaan Gigi Yang Betul
March 14, 2023 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa gusi berdarah dan gigi mereput telah menjejaskan hampir 3/4 kanak-kanak prasekolah di Malaysia, dan ia boleh memberi kesan serius kepada kesejahteraan dan perkembangan mereka?

Hal ini kerana, ramai beranggapan bahawa kesihatan gigi yang baik hanyalah ketika memiliki gigi putih dengan senyuman yang cantik, tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu.

Secara umumnya, mengamalkan penjagaan gigi yang baik hendaklah bermula sejak bayi lagi sehinggalah dewasa. Namun sayang sekali, ramai tidak dapat melihat kepentingannya dan bagaimana penjagaan kesihatan mulut yang tidak rapi boleh memberi kesan yang meluas dalam kehidupan. 

Apatah lagi apabila gigi berlubang dikatakan tidak berbahaya kepada kanak-kanak, sedangkan kajian mendapati kanak-kanak yang giginya berlubang pada seawal usia tiga tahun berkemungkinan mendapatnya tiga kali ganda apabila dewasa.

Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS) melaporkan terdapat 71.3% kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang. Bukankah ini satu perkara yang patut mula diambil tindakan?

Ketahui Langkah Penjagaan Gigi Yang Betul Untuk Kanak-Kanak

Untuk mencegah kerosakan gigi dan gangguan kesihatan mulut bermula dari peringkat awal, terdapat beberapa perkara utama yang perlu diketahui dan dilakukan oleh para ibu bapa.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), yang juga merupakan seorang Pakar Pergigian Kanak-kanak, Dr. Yogeswari Sivapragasam, ini adalah lima nasihat dan langkah penjagaan gigi dalam kalangan kanak-kanak:

Mengamalkan Tabiat Penjagaan Gigi Yang Baik Sejak Dari Bayi

Ramai ibu bapa yang akan terlepas pandang penjagaan mulut bayi. Maklumlah bayi hanya akan tumbuh giginya apabila umur mereka menginjak ke kanak-kanak.

Namun begitu, gusi bayi masih perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Rutin ini membantu menetapkan asas kepada amalan penjagaan harian dan kesihatan mulut kanak-kanak itu seumur hidupnya.

Selain daripada itu, ibu bapa hendaklah mendapatkan nasihat daripada pengamal penjagaan kesihatan seperti jururawat penasihat di klinik-klinik komuniti atau pakar pediatrik mengenai cara untuk menjaga kesihatan mulut sejurus kelahiran bayi, termasuklah apa yang perlu dilakukan apabila gigi pertama anak tumbuh. 

Mengurangkan Atau Mengelakkan Pengambilan Garam Dan Gula Tambahan

Apabila kanak-kanak membesar dan gigi mereka tumbuh, adalah satu kebiasaan mereka diperkenalkan kepada makanan baharu mengikut perkembangan diet dan keperluan nutrisi mereka yang berubah-ubah.

Namun begitu, adalah penting untuk memperkenalkan makanan baharu secara beransur-ansur dan berhati-hati.

Menurut Dr. Yogeswari, ibu bapa perlu menunda pemberian garam dan gula dalam diet anak-anak mereka supaya mereka tidak mula menyukai rasa tambahan tersebut pada usia yang muda. Kesukaan berterusan kepada makanan manis boleh membawa kepada risiko tinggi masalah pergigian, selain keadaan kesihatan kronik seperti obesiti dan kencing manis.

Mengunjungi Doktor Gigi Secara Kerap Dan Konsisten

Sering kita dengar orang dewasa tidak suka berjumpa doktor gigi dan kebarangkalian ini berlaku kerana pengalaman yang negatif. Namun begitu, ibu bapa perlulah mengenepikan ketakutan peribadi dan membantu anak mereka mendapat pengalaman positif semasa temujanji pergigian. 

Pemeriksaan pergigian yang pertama perlu dibuat semasa kanak-kanak itu berusia satu tahun. Selepas itu, disarankan pemeriksaan sekali setiap enam bulan. Agak mustahil bagi kanak-kanak semuda itu untuk mendapat masalah pergigian, tetapi rutin ini akan membantu mereka menikmati pengalaman positif dan tidak mengaitkan temujanji doktor gigi dengan kesakitan dan ketakutan.

Selain itu, temujanji berkala dapat membantu membiasakan mereka dengan doktor gigi dan pencegahan jangka panjang. Idea di sebalik temujanji awal ini adalah supaya masalah dapat dikesan lebih awal dan dapat dicegah daripada memburuk.

Peka Kepada Perubahan Sikap Kanak-Kanak

Ada masanya kanak-kanak tidak mahu makan sesetengah makanan atau enggan menggosok gigi. Walaupun sikap begitu dapat dijelaskan dengan mudah sebagai kanak-kanak yang memilih dan cerewet, tetapi ada kemungkinan juga ada sebab-sebab lain. 

Kanak-kanak yang giginya berlubang atau sakit gusi mungkin mengalami ketidakselesaan atau kesakitan kronik yang menyebabkan mereka tidak mahu makan kerana perlu mengunyah. Dengan tanpa sengaja mereka akan mengelak daripada makan makanan dalam bentuk sebiji atau seketul seperti buah epal atau ayam.

Sebaliknya, mereka memilih makanan lembut, yang kebanyakannya adalah makanan diproses tinggi kandungan garam, gula dan berlemak. Untuk jangka masa panjang, ini akan membawa kepada kekurangan gizi pemakanan atau keadaan kronik yang menjejaskan kesihatan mereka sehinggalah dewasa.

Kesakitan berpanjangan boleh menyebabkan mereka meragam atau menjejaskan keupayaan untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran di prasekolah. Selain itu, kesihatan mulut yang buruk boleh menjejaskan keyakinan diri jika mereka diusik kerana gigi berwarna kuning atau mereput. Mereka juga akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti bersosial atau lebih suka bersendiri.

Oleh itu, Dr. Yogeswari menasihati ibu bapa untuk lebih peka dan memantau jika anak mereka mempunyai masalah gigi sekiranya anak mereka tiba-tiba sahaja tidak mahu mengunyah atau meragam tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Peribadikan Keperluan Kesihatan Mulut

Ibu bapa boleh membantu menyokong kesihatan mulut anak berdasarkan tahap-tahap tumbesaran mereka. Perhatikan sebarang petanda jelas seperti gusi berdarah, ulser atau perubahan warna gigi.

Berikut adalah serba sedikit indo mengenai kesihatan mulut pada peringkat umur yang berbeza-beza:

  1. Selepas lahir, sebelum gigi bayi tumbuh – Gunakan kain bersih dan lembap yang dililitkan pada hujung jari untuk mengelap lembut gusi bayi pada waktu pagi dan malam.
  2. Selepas tumbuh gigi pertama – Gunakan berus gigi mesra bayi bersama ubat gigi berflorida untuk memberus gigi dan gusi anak dengan perlahan. Lakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari sebagai satu rutin.  
  3. Memasuki umur prasekolah – Pada usia ini, kanak-kanak sudah pandai memegang berus gigi sendiri tetapi memerlukan bimbingan ibu bapa supaya mereka boleh memberus gigi dengan betul dan bersih.
  4. Memasuki usia persekolahan (sekolah rendah) – Pada masa ini, kanak-kanak sepatutnya sudah pandai memberus gigi sendiri dengan pemantauan ibu bapa. 

Akhir sekali, kesihatan mulut dan kesihatan umum adalah saling terkait. Setiap individu perlu celik tentang kesihatan secara keseluruhan yang mana anda perlu mendapatkan pemakanan yang sihat di samping mengamalkan kebersihan diri yang baik.

Jadikan amalan pencegahan dan penjagaan mulut harian yang baik sebagai sebahagian daripada kehidupan sehari-hari. Ini akan menjadikan penjagaan mulut itu satu kebiasaan dan mengurangkan risiko masalah dan penyakit yang bermula dari mulut.

Komen