Program Gaya Hidup Diabetes atau Diabetes Lifestyle Program (DLP) telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia, yang diwakili oleh Yang Berusaha Dr Mohd Azman Yacob,Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.  

Ini merupakah sebuah usaha bagi menerapkan intervensi gaya hidup dalam amalan pengurusan diabetes yang utama. Program ini bertujuan menambahbaik hasil rawatan diabetes, di samping mengurangkan beban terhadap pesakit, keluarga, sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.

Pelancaran ini juga dirasmikan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara pelbagai panel pakar yang merupakan peneraju utama DLP ini, iaitu:

  • Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS)
  • Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)
  • Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA)
  • Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM)
  • Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), dan
  • Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES)

Dengan kehadiran inisiatif dan program seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat merapatkan jurang antara ahli penjagaan kesihatan dan juga para pesakit diabetes.

Mengapa Pengurusan Diabetes Penting?

Menurut Datuk Dr Zanariah, yang merupakan seorang Pakar Perunding Kanan Endokrinologi, diabetes adalah keadaan di mana gula darah seseorang itu sentiasa tinggi. Gula yang tinggi berpanjangan adalah serius kerana ia mengundang pelbagai komplikasi termasuk:

  • serangan jantung
  • strok
  • kerosakan buah pinggang
  • kebutaan
  • kerosakan saraf yang boleh melumpuhkan
  • amputasi kaki.

Sebelum ini, ramai pesakit yang kerap bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengawal paras gula darah tinggi. Namun demikian, sekiranya pesakit tidak membuat sebarang perubahan gaya hidup dan terus menjalani gaya hidup yang tidak sihat, mereka mungkin akan memerlukan dos yang lebih tinggi atau lebih banyak ubat-ubatan. 

Kajian juga telah membuktikan perubahan gaya hidup turut memberi kesan positif. Pengurusan diet, gaya hidup aktif, pemantauan gula darah secara kendiri, dan penurunan berat badan merupakan langkah asas dalam menguruskan diabetes.

Bukan itu sahaja, apabila individu mengekalkan penurunan berat badan juga, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan paras gula darah, kolesterol, dan tekanan darah, serta jumlah ubat yang diperlukan. Malah dalam sesetengah kes, diabetes dapat mencapai remission.

Menerusi program DLP ini juga, para pesakit akan diberikan pendedahan berkenaan dengan pengambilan makanan seperti:

  • Penghidap diabetes perlu merancang saiz hidangan nasi, sumber protein dan sayur-sayuran berdasarkan prinsip pinggan sihat atau ‘suku-suku-separuh’ akan menjamin diet yang seimbang dan memenuhi keperluan pemakanan pesakit.
  • Selain itu, pemilihan bijirin penuh dan makanan yang tinggi serat yang mengambil lebih masa untuk dicerna akan membantu mengelakkan peningkatan gula darah mendadak yang lazim berlaku apabila kita mengambil karbohidrat terproses.  

Dari aspek aktiviti fizikal, melakukan kerja rumah atau berjalan pantas setiap hari akan membolehkan insulin, iaitu hormon yang wujud secara semula jadi dalam badan anda, bertindak dengan lebih berkesan untuk mengekalkan paras gula darah dalam julat yang sihat.

DLP turut menggalakkan mereka yang menghidap diabetes untuk melakukan pemantauan gula darah kendiri secara teratur bagi memahami corak gula darah mereka pada masa berlainan dalam sehari. Maklumat sedemikian akan membolehkan mereka melaraskan pengambilan makanan dan gaya hidup mereka bagi mengekalkan paras gula darah dalam julat sasaran.

Di samping itu, menurunkan berat badan sebanyak 5 peratus telah terbukti dapat menambah baik gula darah, kolesterol dan tekanan darah. Menurut Datuk Dr Zanariah lagi, cubaan untuk menurunkan berat badan menerusi usaha sendiri sering menemui kegagalan. Justeru itu, DLP menyediakan konsultasi dietitian secara virtual dan percuma supaya mereka yang menghidap diabetes boleh mendapat nasihat yang lebih spesifik dan berstruktur, termasuk pelan penggantian makanan dengan formula khusus diabetes.

Program Gaya Hidup Diabetes hanya tersedia melalui ahli penjagaan kesihatan yang mengambil bahagian. Doktor perubatan, pendidik jururawat diabetes, ahli dietitian, ahli farmasi dan ahli kesihatan yang berminat boleh menghubungi [email protected] untuk maklumat lanjut.