Lina Rosli Diterbitkan 17 March 2023

Bagaimana Kameleon Bertukar Warna?

Pernahkah anda melihat kameleon dengan mata kasar? Jika ya, tahukah anda bahawa reptilia yang berupaya untuk berubah warna dengan menyebarkan atau menumpukan butiran pigmen yang dikenali sebagai sel melanophore di dalam sel yang mengandunginya?

Kameleon atau turut dikenali sebagai sumpah-sumpah secara umumnya berasal dari keluarga Chamaeleonidae. Bercakap mengenai ciri fizikal kameleon, mereka mempunyai bebola mata yang mampu digerakkan dan dipusingkan sehingga 360 darjah; penglihatan ini ditumpukan melalui satu lubang mata manakala sebahagian besar mata lain tertutup kerana tercantumnya kedua-dua kelopak atas dan bawah mata.

Walaupun lubang mata kameleon adalah kecil, tetapi reptilia ini sebenarnya dapat melihat tidak sahaja dalam persekitaran bercahaya tampak malah juga bercahaya ultraungu

Setakat Jun 2015, penyelidik telah menemui sebanyak 202 spesies dari keluarga kameleon ini. Antara habitat utama bagi kameleon adalah di sekitar kawasan hutan hujan ke gurun di benua Afrika, Madagaskar, selatan Eropah hingga ke Sri Lanka di selatan Asia.

Mengapa Kameleon Bertukar Warna?

Untuk pengetahuan anda, keadaan warna kameleon pada bila-bila masa dikawal oleh interaksi kompleks hormon, suhu dan sistem saraf autonomi haiwan. Perubahan warna ini juga ditentukan oleh faktor persekitaran seperti cahaya dan suhu serta emosi—seperti ketakutan dan emosi yang dikaitkan dengan kemenangan atau kekalahan.

Sebagai contoh, kameleon bertukar warna apabila mereka di dalam keadaan yang memerlukan mereka untuk memanaskan badan atau menyejukkan badan. Kebiasaannya, warna kameleon akan menjadi lebih gelap apabila mereka ingin memanaskan badan kerana ia membantu untuk penyerapan lebih banyak haba.

Selain itu, kameleon juga akan bertukar warna untuk berkomunikasi dengan kameleon lain. Reptilia ini akan menggunakan warna terang untuk menarik pasangan ataupun di dalam keadaan lain, mereka akan bertukar warna untuk memberi amaran kepada musuh.

Jadi, Bagaimana Kameleon Atau Sang Sumpah-Sumpah Ini Menukar Warna Badan?

Secara umumnya, lapisan luar kulit kameleon adalah jenis tembus pandang (see-through). Di bawahnya terdapat lapisan sel khas yang dipenuhi dengan pigmen atau dikenali iridophores.

Sel ini mengandungi kristal nano yang diperbuat daripada guanin, salah satu blok binaan asid nukleik DNA. Kristal ini kemudiannya disusun secara teratur bagi memantulkan satu warna cahaya dengan kuat, seperti hijau.

Untuk memaparkan warna baharu, otak kameleon akan menghantar mesej kepada sel-sel ini sama ada menjadi lebih besar atau lebih kecil. Apabila ini berlaku, pigmen daripada sel yang berbeza dilepaskan, dan ia bercampur antara satu sama lain untuk mencipta warna kulit yang baharu. Sebagai contoh, pigmen merah dan biru mungkin bercampur untuk menjadikan kameleon kelihatan ungu.

Beberapa warna yang menarik biasanya muncul pada ketika kameleon sedang mengawan. Sesetengahnya mencapai corak warna yang begitu jelas dan kompleks sehingga sukar untuk membayangkan bahawa ia berfungsi untuk tujuan semula jadi.

Dan akhir sekali, kameleon sebenarnya tidak menukar warnanya untuk sepadan dengan latar belakang atau persekitaran. Akan tetapi, mereka membuat pelarasan warna kecil untuk digabungkan dengan persekitaran mereka bagi mempertahankan wilayah dan menarik pasangan.

Sumber: National Geographic