Untuk tahun 2023 ini, nampaknya Honda Malaysia telah bersiap sedia menyusun perancangan mereka bagi memperkenalkan 3 buah model kenderaan baharu dan sebuah model facelift kepada pengguna.
Menurut Honda, salah satu model yang bakal menyusur di jalan raya Malaysia tidak lama lagi ialah Kenderaan Utiliti Sukan Kecil (SUV) pertama Honda, iaitu WR-V yang dijadualkan dilancarkan pada suku ketiga 2023.

Ini sekaligus menjadikan Honda sebagai pengeluar pasaran besar Jepun pertama yang memasuki segmen SUV Kecil.
Tambah mereka lagi, model yang bakal diperkenalkan ini bukan sahaja hadir dengan rekaan kenderaan yang kompak dan berani, tetapi juga turut menampilkan beberapa elemen baharu termasuklah teknologi yang canggih, kepraktisan dan keselesaan yang sempurna untuk golongan profesional muda dan keluarga yang menikmati perjalanan dan aktiviti luar.
Di samping itu, Honda Malaysia turut hadir dengan pelan rancangan dalam mengukuhkan lagi teknologi hibrid mereka di pasaran Malaysia melalui pengenalan teknologi e:HEV.
Honda Malaysia juga akan memperkenalkan 2S (Servis dan Alat Ganti) Pit Stop dan mempromosikan aktiviti selepas jualannya bagi memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan semasa dan bakal pelanggan.