Berita baik untuk penggemar Honda Malaysia, jenama ini dijangka akan memperkenalkan Honda CONNECT dalam model lain selain City RS, City Hatchback RS, Civic RS, Civic e:HEV RS dan HR-V e:HEV RS.
Dengan ini, pengguna boleh menikmati pelbagai fungsi yang terdapat pada sistem bagi mendapatkan kelancaran pemanduan pada tahap maksima ketika berada di jalan raya.
Selari dengan itu juga, platform HondaTouch akan dinaik taraf untuk meningkatkan pengalaman lancar untuk pelanggan Honda dengan menjadikannya lebih mudah dan mudah diakses. Ini adalah sebahagian daripada usaha Honda Malaysia untuk meningkatkan perjalanan digital pelanggan Honda dan menggalakkan amalan yang lebih mampan.

Untuk pengetahuan anda juga, pada tahun 2022, Honda Malaysia telah mencatatkan sebanyak 80,290 unit kenderaan terjual dengan peningkatan 51% daripada jumlah jualan pada 2021. Jumlah jualan itu mewakili 11.1% daripada Jumlah Volume Industri (TIV) pada 2022.
Honda Malaysia juga dijangka akan menambahbaik pengalaman pembelian di samping mengurus semula jualan yang tertinggal (back orders) disebabkan oleh kekurangan cip untuk kereta mereka pada tahun sebelum ini menjelang penghujung Mac 2023.