Penggunaan komputer riba pada masa kini dilihat sudah menjadi satu perkara yang sinonim dalam melaksanakan tugasan. Tidak kira untuk pelajar mahupun pekerja, komputer riba adalah nadi dalam kehidupan harian.
Dengan lambakan tugasan dan juga fail yang digunakan dan dimuat-turun dari laman web, sudah tentu akan menjadikan komputer anda tidak tersusun sekaligus menyukarkan anda untuk mencari fail yang diingini.
Jadi, untuk melancarkan pengalaman penggunaan komputer riba anda, Tajria hari ini ingin kongsi beberapa tips untuk mula mengatur susunan fail komputer riba dan memudahkan carian dokumen penting. Ia juga sekaligus dapat memberikan ruang untuk storan data yang baru dan mengelakkan komputer riba anda menjadi berat dan lambat beroperasi.
Luangkan Masa 5 Minit Setiap Hari
Sediakan sedikit ruang atau masa untuk mengatur fail di dalam komputer riba adalah satu cara yang terbaik. Hal ini bagi memudahkan anda menyusun tanpa perlu menunggu fail anda menjadi lebih banyak dan bersepah.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengelakkan daripada lambakan fail yang sama berulang dan disimpan dua kali di lokasi yang berbeza atau muat turun yang terlalu kerap untuk fail yang sama.
Simpan Fail Di Dalam Storan Awan
Apabila anda menambah dan memuat-naik fail atau dokumen penting di dalam storan awan, ia memudahkan akses ke atas fail-fail tanpa memerlukan komputer riba anda. Malah, ia juga membantu menjimatkan ruang di dalam komputer untuk fail-fail lain yang mungkin lebih kerap diakses.
Buang Fail Yang Hanya Guna Sekali Sahaja
Untuk kandungan yang anda guna sekali sahaja, adalah lebih baik untuk anda membuangnya terlebih dahulu. Dengan itu, jumlah fail juga menjadi lebih sedikit dan tidak menyukarkan anda untuk menetapkan nama dokumen yang bersesuaian.
Namakan Fail Mengikut Kesesuaian
Bagi saya sendiri, saya menyusun dan menyimpan fail atau dokumen mengikut kategori atau sesuatu acara.
Sebagai contoh, saya akan meletakkan nama dokumen artikel harian seperti artikel-tajria-12-fail.pdf. Ia menunjukkan dokumen tersebut adalah artikel harian tajria (artikel-tajria), nombor artikel (12) dan tajuk yang ditulis (fail).
Namun, anda juga boleh menggunakan cara lain seperti meletakkan tajria-fail atau sekadar artikel-0012 dan lain-lain yang lebih mudah difahami atau diingati.
Sediakan Sub-Folders
Jika anda telah memisahkan dan meletakkan fail dokumen anda di dalam kategori utama, anda boleh menyusunnya lebih dengan lebih teliti lagi menggunakan sub folder dalam setiap folder.
Sebagai contoh, anda mungkin ingin menyusun koleksi muzik anda ke dalam sub-folder, anda boleh membuat sub-folder berdasarkan nama artis dan mungkin disusunkan berdasarkan tarikh ia diambil.
Secara peribadi, saya sendiri kadangkala mengambil masa yang agak lama untuk mencari semula fail dokumen dan juga gambar lama bagi dimuatkan di dalam artikel.
Walau bagaimanapun, berkemungkinan besar disebabkan penggunaan nama yang lebih mudah diingati, ia membantu saya mencari dokumen yang diingin dengan lebih mudah di dalam storan.
Di harap perkongsian ini dapat membantu anda mengatur dan menyusun fail di dalam komputer riba anda dengan lebih kemas. Selamat mencuba!