Toyota kini secara rasminya melancarkan model sedan mampu milik mereka, Toyota Vios 2023 kepada umum pada harga permulaan RM89,600. Menampilkan rekaan serba baru untuk kedua-dua reka bentuk dalaman dan luaran, Toyota Vios nampaknya akan menjadi pesaing yang berani di dalam pasaran kenderaan sedan kompak pada tahun ini.
Berdasarkan perkongsian Toyota, kenderaan ini hadir dengan teknologi terkini iaitu 7-kelajuan CVT dengan sequential shiftmatic untuk prestasi pemanduan yang lebih lancar di samping menawarkan penjimatan jisim bagi menghasilkan penjimatan minyak sehingga 8% berbanding model sebelumnya.
Berkenaan jisim kenderaan ini, Toyota Vios menggunakan Ultra High Tensile Materials, Corkinuous Frame Design, dan Increased Welding Spots yang menjadikannya lebih ringan tetapi kekal mantap sewaktu memandu. Ruang enjin juga direka semula bagi mengurangkan titik putus bentuk, seterusnya dapat mengurangkan lagi beratnya.
Bukan itu sahaja, Toyota Vios juga turut memperlihatkan ciri-ciri baharu yang belum pernah ditampilkan pada mana-mana kenderaan keluaran Toyota yang lain seperti Paddle Shifters dan Electronic Parking Brake. Menurut Toyota, pengenalan ciri ini adalah bertujuan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih premium di sepanjang tempoh memandu.
Tidak ketinggalan juga, Toyota Vios ini turut menyertakan sekali sensor keselamatan yang ditambah baik iaitu Toyota Safety Sense (TSS) di bahagian tempat duduk pemandu dan juga penumpang. Dengan ini, ia dijangka akan memberikan amaran awal kepada pemandu sekiranya terdapat bahaya di hadapan sewaktu memandu.
Bagi yang berminat untuk mula melakukan tempahan Toyota Vios, jenama ini hadir dengan dua varian model iaitu 1.5 G (AT) dan 1.5 E (AT). Melengkapkannya adalah lima pilihan warna berbeza termasuk satu warna baharu iaitu Spicy Scarlet. Warna lain adalah Platinum White Pearl, Silver Metallic, Attitude Black dan Nebula Blue Metallic. Untuk varian Vios 1.5 G (AT), ia ditawarkan pada harga RM95,500 sebuah.
Untuk kesemua model Toyota Vios ini, anda akan diberikan 5 tahun waranti dengan jarak perbatuan tanpa had. Pemilik kenderaan juga turut akan menikmati langganan 3 tahun percuma untuk Toyota Vehicle Telematics System dan bantuan perjalanan 24SEVEN.