Carian
F&NHB Perkenal Inisiatif Penjagaan Alam Sekitar Menerusi Program PerKISS
March 28, 2023 Lina Rosli

Pada tahun 2022, peratusan kadar kitar semula negara dilihat telah mencapai lebih daripada 30%. Dan ini menunjukkan bahawa kesedaran individu akan kepentingan kitar semula masih lagi tinggi. Malah, ia juga selari dengan sasaran kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang menjangkakan kadar kitar semula negara mencapai sebanyak 40% menjelang 2025.

Oleh sebab itu, F&NHB melihat akan keperluan pendedahan ilmu kitar semula kepada seluruh rakyat Malaysia. Menurut F&NHB, tabiat baik dalam amalan kitar semula dan kemampanan perlu dimulakan sejak usia muda.

Sebelum ini, F&NHB pernah menjalankan kempen kitar semula dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar. Dan ia memperlihatkan kebolehan para pelajar dalam membuat keputusan tentang cara untuk hidup secara lestari.

Bagi meneruskan inisiatif ini, F&NHB akan terus bekerjasama rapat dengan SWCorp dan pihak berkepentingan lain daripada sektor awam dan swasta dalam melaksanakan inisiatif alam sekitar menerusi program PerKISS (Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah).

Program PerKISS ini berfungsi untuk menanam sikap mengutamakan pengurusan sisa yang mampan dalam kalangan generasi akan datang.

Setiap sekolah yang menyertai akan bersaing untuk mengumpulkan bahan kitar semula paling banyak serta menggerakkan kempen kreatif untuk mengamalkan prinsip 3R iaitu Mengurang, Menggunakan Semula & Mengitar Semula (‘Reduce, Reuse & Recycle’). Semua sekolah akan dinilai pada akhir tempoh kempen dan para pemenang akan menerima hadiah wang tunai yang ditaja oleh F&NHB.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang PerKISS dan Program Kitar Semula di Sekolah oleh F&NHB, anda boleh menghubungi Rizal Bin Abdul Rahman di [email protected].

Komen