Carian
Apa Itu Penyakit Buah Pinggang Diabetik (DKD)?
March 29, 2023 Lina Rosli

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai punca yang mengakibatkan kegagalan buah pinggang seperti penyakit autoimun, penyakit polycystic kidney, sindrom nefrotik, masalah saluran urin dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, diabetes merupakan penyumbang utama kepada penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Dianggarkan 1 dalam 3 orang dewasa yang menghidapi diabetes juga menghidap penyakit buah pinggang kronik, ia melibatkan sebanyak 40% pesakit diabetes jenis 2 yang mana keadaan ini dikenali sebagai Penyakit Buah Pinggang Diabetik atau juga dikenali sebagai Diabetic Nephropathy.

Penyakit ini berlaku apabila buah pinggang individu mengalami masalah menapis sisa buangan daripada darah yang kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk air kencing. Jika ia tidak dirawat, buah pinggang seseorang individu akan gagal untuk berfungsi. Dan sekiranya ini berlaku, pakar akan menyarankan untuk mula melakukan pemindahan buah pinggang atau dialisis.

Berdasarkan laporan Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2018, 69.2% pesakit buah pinggang peringkat akhir adalah disebabkan oleh DKD. Semakin tinggi tahap diabetes seseorang, semakin tinggi peluang mereka untuk menghidapi DKD. Trend yang membimbangkan ini menyebabkan Malaysia mempunyai kadar prevalens kegagalan buah pinggang paling tinggi di dunia yang berpunca dari diabetes.

Apa Itu Penyakit Buah Pinggang Diabetik (DKD)?

Secara umumnya, Penyakit Buah Pinggang Diabetik atau DKD berlaku akibat kehadiran protein berlebihan, terutamanya albumin dan kemudiannya kehilangan dalam air kencing. DKD merupakan penyebab utama kegagalan buah pinggang dan penyakit kardiovaskular dalam kalangan pesakit diabetes.

Diabetes adalah Punca No.1 Kegagalan Buah Pinggang

Kebiasaanya diabetes mengambil masa bertahun-tahun untuk merosakkan buah pinggang dan jika ia berlaku, gejala DKD tidak begitu ketara di peringkat awal dan hanya akan lebih jelas apabila penyakit sudah di peringkat serius.

Oleh itu, kedua-duanya, diabetes dan penyakit buah pinggang digelar sebagai pembunuh senyap tanpa gejala terutamanya pada peringkat awal. Masalahnya apabila diabetes tidak didiagnosis atau tidak terkawal. Ramai orang tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes jenis 2 untuk jangka masa yang lama yang boleh mengakibatkan peluang yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit buah pinggang sejurus selepas disahkan menghidap diabetes.

Beberapa gejala bagi penyakit buah pinggang yang berpunca dari diabetes adalah seperti:

  • pertambahan berat badan
  • pergelangan kaki bengkak
  • loya atau muntah
  • air kencing berbuih
  • lesu
  • nafas berbau air kencing
  • gatal-gatal
  • selera makan berkurangan

Selain itu, organ lain yang mungkin terjejas kesan daripada penyakit buah pinggang termasuklah mata dengan gejala seperti penglihatan kabur dan floaters.

Bagaimana Individu Boleh Memastikan Buah Pinggang Mereka Sihat Jika Menghidap Diabetes?

Cara terbaik untuk melambatkan atau mencegah komplikasi buah pinggang yang berkaitan dengan diabetes adalah dengan sentiasa mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat.

Selain itu, ia adalah penting untuk menjalani gaya hidup sihat yang mana salah satu faktor terbesar adalah pemakanan. Pemakanan yang sihat tidak bermakna anda hanya perlu mengambil salad sementara yang lain menjamu ayam goreng dan mi kari. Anda pun boleh mengambilnya tapi dengan kadar pengambilan yang berpada-pada.

Oleh sebab itu, adalah penting untuk anda mempraktikkan panduan Pinggan Sihat Malaysia. Melaluinya, anda disarankan untuk mengamalkan hidangan #SukuSukuSeparuh – karbohidrat (suku pinggan), protein (suku pinggan), buah-buahan dan sayur-sayuran (separuh pinggan).

Untuk pemakanan yang sihat, ini merupakan panduan terbaik tetapi sering kali diabaikan malah sentiasa dianggap remeh oleh kebanyakan orang.

Apabila bercakap tentang paras gula dalam darah bagi mengelakkan kerosakan buah pinggang menjadi lebih teruk. Ini kerana matlamat utama kita adalah untuk mengamalkan pengambilan pemakanan sihat dan seimbang yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan sambil mengamalkan pengawalan bahagian mengikut Pinggan Sihat Malaysia.

Kesederhanaan dan saiz bahagian adalah faktor utama. Anda juga boleh mengambil mana-mana karbohidrat tetapi dalam bahagian sederhana mengikut kesesuaian serta mengurangkan pengambilan garam atau natrium. Kurang natrium dalam diet anda dapat membantu menurunkan tekanan darah sekaligus mengurangkan pengumpulan cecair dalam badan anda.

Rawatan Untuk Penyakit Buah Pinggang Diabetik (DKD)

Untuk pengetahuan anda, kadar kematian dan penyakit kardiovaskular dilihat semakin meningkat secara eksponen bagi pesakit DKD.

Rata-rata individu yang mengalami masalah DKD ini cenderung untuk tidak bertahan hingga ke peringkat akhir penyakit buah pinggang. Jika pesakit mencapai peringkat akhir penyakit buah pinggang, mereka memerlukan terapi penggantian buah pinggang termasuk pemindahan buah pinggang atau dialisis.

Pesakit juga perlu memantau kormoditi mereka dengan penuh teliti bersama doktor mereka termasuk hipertensi, obesiti, hiperkolesterolemia dan merokok. Kesemua penyakit ini boleh membawa maut bersama diabetes.

Pakar penjagaan kesihatan biasanya akan menasihati pesakit diabetes tanpa gejala untuk menjalani saringan penyakit buah pinggang dan jantung. Saringan yang disyorkan untuk penyakit buah pinggang diabetes (DKD) adalah dengan melakukan ujian mudah, seperti ujian air kencing yang dipanggil Urine ACR bagi meneliti kebocoran protein serta ujian darah bagi melihat fungsi buah pinggang yang dipanggil serum creati-nine.

Saringan perlu dilakukan pada hari yang sama seseorang itu didiagnosis menghidapi Diabetes Jenis 2 dan 5 tahun selepas bermulanya diabetes Jenis 1. Walau bagaimanapun, cadangan untuk menyaring pesakit diabetes tanpa gejala untuk penyakit kardiovaskular ini bergantung kepada saranan pakar yang bertauliah.

Bersama-sama dalam mengurangkan peningkatan kadar penyakit DKD negara, For Your Sweetheart Campaign mengajak semua rakyat Malaysia untuk memelihara kesihatan diri dan orang tersayang dengan Pemeriksaan Diabetes HbA1c PERCUMA di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Inisiatif ini disokong oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM).

Anda boleh layari laman rasmi For Your Sweetheart untuk mendaftar Saringan Percuma hari ini atau untuk mengetahui lebih lanjut tentang diabetes. Selain itu, anda turut boleh mendapatkan panduan makanan sihat menerusi buku digital Resipi Mesra Diabetes.

Komen